AM

MOA MPOGCF-kerajaan Kelantan Perkukuh Pemuliharaan Hutan, Biodiversiti

23/09/2025 11:59 PM

KOTA BHARU, 23 Sept (Bernama) -- Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dan kerajaan negeri Kelantan memeterai suatu memorandum perjanjian (MoA) hari ini bagi memperkukuh usaha pemuliharaan hutan dan biodiversiti di negeri itu.

MoA itu ditandatangani Pengurus Besar MPOGCF Hairulazim Mahmud dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal.

Majlis itu disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi Datuk Yusran Shah Mohd Yusof yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan Mohd Rahim Ramli.  

Menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pelaksanaan projek pengurusan hutan yang terpisah akibat pembalakan, pembinaan jalan dan aktiviti perladangan yang menjejaskan kelangsungan hidup spesies terancam termasuk Harimau Malaya, gajah, tapir dan beruang matahari. 

Antara lain, MPOGCF memperuntukkan dana berjumlah RM562,000 bagi menjayakan projek konservasi di Hutan Simpan Chabang Tongkat, Machang dengan keluasan 10.5 hektar yang merangkumi fasa penanaman dan penjagaan serta rawatan pokok. 

Projek tersebut menghubungkan semula hutan yang terpisah, membolehkan hidupan liar bergerak bebas antara kawasan hutan, membantu meningkatkan populasi spesies haiwan serta mengurangkan risiko kadar kemalangan jalan raya melibatkan hidupan liar. 

Sementara itu, Yusran Shah dalam ucapan berkata perpecahan hutan bukan sahaja menyukarkan pergerakan hidupan liar malah meningkatkan risiko kemalangan jalan raya dan menjejaskan rantaian ekologi.

Beliau berkata penghutanan semula kawasan terosot dengan spesies asli akan memperbaik ekosistem hutan, meningkatkan kualiti tanah dan mengurangkan hakisan. 

"Lebih penting lagi, inisiatif ini menyokong Pelan Induk CFS Malaysia serta komitmen negara terhadap usaha konservasi biodiversiti, di samping meningkatkan imej positif industri sawit Malaysia di peringkat global," katanya.

Sementara itu, Tengku Mohamed Faziharudean berkata projek berkenaan mengukuhkan lagi komitmen kerajaan negeri dalam memastikan keseimbangan alam sekitar dengan kemajuan ekonomi.

Beliau berkata MoA itu adalah bukti kerjasama erat kerajaan negeri dan Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam usaha pemuliharaan biodiversiti.

MPOGCF merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh kementerian tersebut untuk menyokong usaha pemuliharaan berkaitan industri minyak sawit dan mencerminkan komitmennya ke arah pemuliharaan alam sekitar.

Pelbagai usaha pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan oleh MPOGCF bertujuan meningkatkan reputasi industri minyak sawit untuk mencapai pengiktirafan global bagi amalan mampan.

"MPOGCF sentiasa memerhatikan kawasan kritikal yang berkaitan dengan pemuliharaan hijau dalam industri kelapa sawit bagi perlindungan dan pengurusan jangka pendek, pertengahan dan panjang serta pemuliharaan warisan semula jadi negara.

"Kami komited dalam mempamerkan kepada dunia bahawa industri minyak sawit Malaysia ialah industri yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Pembiayaan yang diberikan adalah sebahagian daripada usaha mempamerkan komitmen industri dalam memulihara alam semula jadi dan mempromosikan landskap hijau," menurut MPOGCF dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan