KOTA BHARU, 23 Sept (Bernama) -- Rakyat Kelantan dikenal pasti memiliki kadar celik kewangan paling rendah di negara ini diikuti penduduk Sabah dan Terengganu, menurut dapatan kajian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengarah KWSP Wilayah Timur Rahmat Ali berkata kajian yang dijalankan pada 2022 itu mengambil kira beberapa faktor, termasuk kurang pendedahan mengenai pengurusan kewangan dan simpanan.
Beliau berkata hasil kajian menunjukkan kadar celik kewangan rakyat Kelantan hanya 15 peratus, diikuti Sabah (16 peratus) dan Terengganu (17 peratus), berbanding Kuala Lumpur yang merekodkan 41 peratus.
“Mungkin mereka mempunyai simpanan sendiri tetapi tempat simpanan tidak produktif seperti di rumah atau di bank, yang tidak memberi pulangan tinggi.
"Jika celik kewangan mereka lebih baik sepatutnya mereka tahu memilih instrumen simpanan yang memberikan pulangan lebih tinggi, contohnya KWSP,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Tadbir Urus Media Negeri dan Pihak Bekepentingan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rahmat berkata pihaknya kini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya golongan bekerja sendiri yang tidak mempunyai caruman formal melalui potongan majikan.
“Antara kemudahan ditawarkan ialah i-Saraan dan i-Suri. Menerusi i-Saraan, kerajaan memberi insentif RM500 setahun selama 10 tahun jika pencarum menyimpan RM2,500 setahun.
“Caruman ini bukan sahaja membolehkan mereka menikmati insentif dan dividen tetapi juga pelbagai manfaat lain seperti pengeluaran untuk pembelian rumah, pendidikan, serta perlindungan jika berlaku hilang upaya atau kematian,” katanya.
Rahmat berkata setakat ini, KWSP merekodkan 18,385 pencarum i-Saraan manakala 431 individu mendaftar di bawah i-Suri dan menyeru lebih ramai masyarakat mengambil peluang tersebut sebagai pelaburan masa depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial