AM

Sarawak, LSE Meterai Perkongsian Strategik

23/09/2025 08:49 PM

KUCHING,  23 Sept  (Bernama) -- Kerajaan Sarawak dan  London School of Economics and Political Science (LSE) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam pengurusan sumber semula jadi, pembangunan modal insan dan inovasi dasar global

Dalam satu kenyataan, Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) memaklumkan majlis menandatangani MoU yang berlangsung di universiti berkenaan di London hari ini disaksikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

MoU berkenaan merangkumi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan eksekutif untuk perkhidmatan awam Sarawak, biasiswa untuk pelajar, penyelidikan bersama dan pembangunan mampan, serta kepimpinan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam pembentukan dasar negeri.

Abang Johari berkata MoU itu merupakan satu rangka kerjasama yang menyatukan modal semula jadi dan modal insan, dengan menggabungkan kekuatan Sarawak serta kepakaran LSE yang diyakini dapat menghasilkan pengetahuan, dasar dan penyelesaian yang relevan untuk negeri ini serta memberi impak di peringkat global.

“Modal semula jadi bukan satu konsep yang asing bagi Sarawak. Dengan lebih 60 peratus tanah kami masih dilitupi hutan, terutama hutan hujan, sungai dan biodiversiti semua itu merupakan antara kekuatan utama Sarawak. 

“Aset semula jadi ini meletakkan Sarawak sebagai antara kawasan simpanan karbon yang penting untuk bumi, namun usaha pemuliharaan khazanah ini memerlukan pengiktirafan terhadap nilainya di peringkat global dan kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan. 

Pemeteraian MoU itu merupakan satu langkah penting ke arah meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam ekonomi hijau di rantau ini dan sumbangan kepada pengetahuan dasar global, selain membuka peluang baharu kepada rakyat Sarawak melalui pendidikan dan penyelidikan bersama satu daripada universiti terkemuka dunia.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan