AM

Ekosistem Ekonomi Kukuh, Berdaya Tahan Penting Untuk Lahirkan 500,000 Pekerja Mahir Menjelang 2030

24/09/2025 04:38 PM

KUCHING, 24 Sept (Bernama) -- Sarawak perlu membangunkan ekosistem ekonomi yang kukuh dan berdaya tahan sebagai asas penting dalam usaha mencapai sasarannya bagi mewujudkan 500,000 pekerjaan mahir serta meningkatkan pendapatan bulanan penengah isi rumah kepada RM15,049 menjelang tahun 2030.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata sasaran itu digariskan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 negeri.

“Kita ingin memastikan bahawa setiap rakyat Sarawak mendapat akses kepada pekerjaan yang bermakna merentasi pelbagai industri. Bagi mencapai matlamat ini, kita mengutamakan inovasi, keterangkuman dan kelestarian.

“Ini termasuk membina ekosistem yang kukuh bagi tenaga boleh diperbaharui, membangunkan industri berkuasa hijau, memperkukuh rantaian nilai semikonduktor dan mempersiapkan rakyat kita untuk ekonomi digital,” katanya ketika berucap pada program Industry Connect @ Sarawak 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dunia telah mengalami perubahan teknologi pesat yang didorong oleh kecerdasan buatan dan pendigitalan.

“Sarawak tidak boleh ketinggalan. Para pemain industri harus menyesuaikan diri dengan pantas dan bakat tempatan kita perlu dilengkapi dengan kemahiran yang betul, alat digital dan pemikiran yang sesuai untuk berjaya dalam landskap yang sedang berubah ini.

“Dengan berbuat demikian, kita memperkasakan rakyat bukan sahaja untuk merebut peluang baharu dan memacu inovasi tetapi juga menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan