EKONOMI

Pulau Pinang Pamer Projek Bernilai RM5 Bilion Di Ekspo Dunia 2025 Osaka

24/09/2025 03:02 PM

GEORGE TOWN, 24 Sept (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mempamerkan projek-projek pembangunan bernilai lebih RM5 bilion di Ekspo Dunia 2025 di Osaka, Jepun sebagai sebahagian daripada usahanya menarik pelaburan asing.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang mengetuai delegasi agensi-agensi kerajaan negeri ke Jepun berkata projek-projek yang dipertontonkan termasuk Penang International Logistics Aeropark (PILA), hab penjagaan kesihatan bertaraf dunia yang dikenali sebagai Medi-City di Bandar Cassia dan Penang Linear Waterfront iaitu projek persiaran tepi laut bernilai RM9.8 bilion.

“Selain itu, kami mempromosikan Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP3) yang mengkhususkan semikonduktor, peralatan perubatan dan automasi; projek tepi laut mampan bernilai RM839 juta yang dikenali sebagai The Coast; dan GBS di Technoplex yang bertujuan mengembangkan perkhidmatan perniagaan global dan ekosistem digital kami.

“Apa yang dipamerkan ini mewakili pembangunan bernilai lebih RM5 bilion di bawah pelan strategik PDC 2024-2028,” katanya pada sidang media secara dalam talian selepas melancarkan “Minggu Pulau Pinang” di Pavilion Malaysia di Osaka hari ini.

Sebagai hab utama Malaysia untuk semikonduktor dan reka bentuk litar bersepadu (IC), Chow berkata Pulau Pinang juga mempamerkan tiga peneraju reka bentuk litar bersepadu (IC) tempatan iaitu Tenasic, SiliconX dan SkyeChip.

Ketua Menteri itu berkata Jepun kekal sebagai salah satu daripada lapan destinasi eksport utama Pulau Pinang dengan nilai dagangan mencecah RM14 bilion pada 2024 dan dalam tempoh tujuh bulan pertama 2025 sebanyak RM8.3 bilion dicatatkan.

“Kami juga menjadi kediaman kepada kira-kira 3,500 warga Jepun yang bekerja, pelabur dan pesara yang telah menjadikan Pulau Pinang sebagai rumah kedua mereka.

“Pada 2023 sahaja, Pulau Pinang menarik pelaburan sektor pembuatan bernilai lebih RM1 bilion dari Jepun dan menjana lebih 500 peluang pekerjaan,” kata beliau.

Terdahulu, PDC menandatangani dua memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat logistik global terkemuka, Federal Express Services (M) Sdn Bhd (FedEx) dan DHL Express (Malaysia) Sdn Bhd.

Ia menandakan satu langkah penting ke arah mengukuhkan komitmen untuk inisiatif PILA yang bertujuan meningkatkan status Pulau Pinang sebagai hab kargo udara dan logistik serantau.

PDC kini sedang bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk memuktamadkan rangka kerja pelaburan dan kos pembangunan kasar projek itu yang dianggarkan sekitar RM0.8 bilion.

“FedEx dan DHL merupakan rakan kongsi strategik dalam penubuhan PILA dan delegasi Pulau Pinang juga akan melawat Kansai Logistics Park untuk mempelajari amalan terbaik,” kata Chow.

Selain itu, MoU bernilai RM120 juta telah ditandatangani antara syarikat tempatan Solar Voltech Sdn Bhd (SVSB), Atlantic Blue Sdn Bhd (ABSB) dan syarikat Jepun, Shizen International Inc untuk mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang dalam inisiatif tenaga boleh baharu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan