NIBONG TEBAL, 23 Sept (Bernama) -- Bomba mengambil kira-kira 10 jam untuk memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini yang terbakar awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang John Sagun Francis berkata kejadian melibatkan kebakaran longgokan sisa pepejal di tapak pelupusan fasa tiga dengan kawasan terjejas seluas 0.6 ekar iaitu tiga peratus daripada keseluruhan 25.96 ekar tapak berkenaan.
“Api pada mulanya telah dapat dikawal pada 9.30 pagi namun kebakaran masih berlaku di bahagian bawah timbunan sampah.
“Operasi pemadaman telah dibahagikan kepada dua sektor iaitu menggunakan sumber air daripada tangki jentera serta pengangkut air (water tanker) menerusi kaedah relay pumping berikutan ketiadaan pili bomba di lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata bomba turut melaksanakan kaedah pemecah api dengan bantuan empat unit jentera pengorek bagi mengasingkan timbunan sampah bagi mengelakkan api daripada merebak.
John memaklumkan keadah direct attack dan total flooding turut digunakan dalam usaha memadam kebakaran, sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 4.05 petang dan operasi ditamatkan pada 5 petang.
Terdahulu, beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.39 pagi tadi sebelum 32 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal dibantu BBP Sungai Bakap, Bandar Perda, Penanti, Bayan Baru serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Nibong Tebal, Parit Buntar dan Tanjung Piandang terlibat dalam operasi berkenaan.
Kali terakhir tapak pelupusan itu terbakar adalah pada 21 Julai 2024, melibatkan kawasan seluas 3,500 meter persegi.
Sebelum itu, pada Januari 2022, kebakaran besar melibatkan lebih 8,000 meter persegi telah menyebabkan kawasan itu diisytiharkan sebagai zon bencana Tahap 1 oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan penduduk dari Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru yang terjejas akibat pencemaran udara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial