GEORGE TOWN, 22 Sept (Bernama) -- Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah dan akan terus menjalankan siasatan terhadap aset pembetungan di seluruh Pulau Pinang termasuk di sepanjang Jalan Burma, yang berlaku kejadian lubang benam semalam.
IWK dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan itu melibatkan pemeriksaan menyeluruh menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) dan pengimbasan radar penembusan tanah (GPR) bagi menilai keadaan saluran pembetungan.
Menurut IWK, projek itu adalah sebahagian daripada Rancangan Malaysia di bawah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) manakala kerja-kerja naik taraf dan pembaikan dilaksanakan melalui peruntukan wang sumbangan modal pembetungan.
“Di seluruh Pulau Pinang, rangkaian paip meliputi 297 kilometer dan kerja-kerja naik taraf serta pembaikan itu berjumlah RM284.7 juta, sebagai sebahagian usaha berterusan menangani infrastruktur pembetungan yang semakin uzur di pulau ini.
“Bagi insiden di sepanjang Jalan Burma, IWK akan meneruskan siasatan bagi mengesahkan punca utama kejadian lubang benam yang berlaku baru-baru ini,” menurut kenyataan itu malam ini.
Mengenai insiden Jalan Burma, IWK mengesahkan mendapan tanah itu berpunca daripada saluran pembetungan yang runtuh akibat pergeseran sambungan paip, yang boleh berlaku secara mengejut di bawah beban berat dan bukan disebabkan oleh aset uzur seperti yang didakwa.
IWK turut mengesahkan saluran paip yang dikenal pasti dan didakwa sebagai daya utama sebenarnya terletak di hulu mendapan itu dan keruntuhan melibatkan paip berdiameter 525 milimeter (mm), bukannya daya utama seperti yang dilaporkan.
“Bagi keselamatan awam, bahagian jalan yang terjejas telah ditutup sementara, dengan kerja-kerja pembaikan segera kini memasuki hari kedua dan dijangka mengambil masa empat hari lagi untuk disiapkan.
“IWK sedang mengambil segala langkah perlu untuk menangani isu ini dengan segera dan selamat, serta mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas kesabaran dan kefahaman sepanjang tempoh ini,” katanya.
Semalam, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memaklumkan lubang benam yang muncul di Jalan Burma berhampiran persimpangan Jalan Transfer berpunca daripada kebocoran paip pembetungan milik IWK bersaiz 300mm.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial