TAWAU, 23 Sept (Bernama) -- Sepasang suami isteri warganegara China di tahan di sini semalam selepas disyaki menghantar emel berbaur ugutan mendakwa kononnya terdapat bom dalam pesawat yang akan berlepas dari Tawau ke Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata suspek berumur 28 dan 29 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Semporna pada 8 malam.
"Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mengaku menghantar mesej palsu tersebut melalui aplikasi rasmi sebuah syarikat penerbangan.
"Alasannya untuk mendapatkan respons daripada syarikat penerbangan itu kerana mahu menukar tempat duduk dalam penerbangan mereka ke Kuala Lumpur sebelum transit ke Beijing," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Jasmin berkata suspek turut mendakwa tindakan itu dilakukan kerana terbaca satu portal di China berkaitan cara mempercepatkan maklum balas syarikat penerbangan adalah dengan melakukan aduan berbentuk ancaman.
"Emel ancaman itu dihantar ke ibu pejabat syarikat penerbangan terbabit di Kuala Lumpur, kira-kira 11.30 malam pada 20 Sept, dan kemudian maklumat disalurkan kepada pihak keselamatan syarikat penerbangan berkenaan di Lapangan Terbang Tawau," katanya.
Beliau berkata kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, selain pihak Konsulat Republik China turut dimaklumkan mengenai penahanan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial