Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini, terjejas ekoran penurunan harga minyak soya selepas Argentina memansuhkan cukai eksport bijirin.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata langkah itu menjadikan soya Argentina dan produk yang berkaitan menjadi lebih berdaya saing, sekali gus memberikan tekanan kepada pasaran minyak sayuran global.
“Argentina merupakan antara pengeksport kacang soya utama dunia. Dengan pemansuhan cukai eksport, pasaran kini dibanjiri minyak dan hampas soya yang lebih murah, ini menyebabkan harga keseluruhan minyak sayuran susut, termasuk minyak sawit,” katanya kepada Bernama.
Pada Isnin, kerajaan Argentina mengumumkan pemansuhan sementara cukai eksport bagi kacang soya, jagung, gandum serta produk sampingan seperti biodiesel, selain daging lembu dan ayam.
Ia berkuat kuasa sehingga akhir Oktober atau sehingga nilai eksport mencapai US$7 bilion, dalam usaha meningkatkan aliran masuk dolar dan menstabilkan peso yang terus melemah.
Bagaimanapun, Ng berkata jangkaan pengeluaran yang lebih rendah dan prestasi eksport yang kukuh masih menyokong sentimen pasaran dalam tempoh terdekat.
“Kami melihat paras sokongan pada RM4,300 satu tan dan rintangan pada RM4,580,” katanya.
Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta Oktober 2025 susut RM79 kepada RM4,304 satu tan, November 2025 berkurangan RM92 kepada RM4,323, dan Disember 2025 merosot RM100 kepada RM4,343.
Kontrak Januari 2026 turun RM103 kepada RM4,360 satu tan, Februari 2026 merosot RM103 kepada RM4,361, manakala Mac 2026 menyusut RM93 kepada RM4,343.
Jumlah dagangan melonjak kepada 157,094 lot berbanding 54,679 pada Isnin, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 266,151 kontrak daripada 261,122 sebelumnya.
Harga fizikal MSM bagi Oktober Selatan susut RM60 kepada RM4,340 satu tan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial