AM

PM Diberi Sambutan Rasmi Penuh Istiadat Di Istana Presiden Timor-Leste

23/09/2025 04:36 PM

Daripada V. Sankara 

DILI (Timor-Leste), 23 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan sambutan penuh istiadat di Istana Presiden di sini petang ini sekali gus menandakan bermulanya sesi rasmi pada hari pertama lawatan bersejarah beliau ke Timor-Leste selama dua hari.

Majlis itu, yang diketuai Presiden Dr José Ramos-Horta pada 4.10 petang waktu tempatan, menyaksikan lagu kebangsaan kedua-dua negara berkumandang diikuti tembakan meriam sebanyak 19 das.

Anwar kemudian memeriksa barisan kawalan kehormatan dan menandantangani Buku Pelawat sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Ramos-Horta. 

Kedua-dua pemimpin kemudian bertemu media dalam sidang akhbar bersama.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Anwar juga dijadual menghadiri Mesyuarat Pra-Majlis sebelum menyertai Majlis Temu Mesra MADANI dengan diaspora Malaysia serta alumni Program Kerjasama Teknikal Malaysia dan Program Kerjasama Pertahanan Malaysia di sebuah hotel di sini.

Program hari ini akan diakhiri dengan jamuan makan malam rasmi di Dewan Serbaguna GMN yang dihoskan bersama oleh Ramos-Horta dan Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan