KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Institut Kemajuan Desa (INFRA) hari ini menganjurkan latihan antarabangsa untuk pemimpin komuniti dan pegawai kerajaan Timor-Leste bagi mendedahkan mereka dengan pengalaman Malaysia membangunkan komuniti luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook beliau berkata latihan enam hari hingga 28 Sept, yang dinamakan “Kursus Pemerkasaan Pemimpin Komuniti ke Arah Pembangunan Luar Bandar Mampan” itu disertai 10 peserta dari Timor-Leste.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata inisiatif latihan itu dilaksanakan rentetan daripada hasil lawatan beliau ke negara itu pada Ogos tahun lepas.
Beliau berkata pegawai dan pemimpin komuniti Timor-Leste itu akan mengikuti ceramah berkaitan dasar dan struktur pentadbiran negara, sesi pembangunan komuniti, belia dan wanita, selain lawatan ke institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), homestay luar bandar serta mengikuti aktiviti kebudayaan dan kraf tangan desa.
“Inisiatif ini membuktikan bahawa pengalaman Malaysia dalam pembangunan luar bandar terus menjadi rujukan serantau dan kerjasama ini memperkukuhkan lagi hubungan erat Malaysia-Timor-Leste.
“Inilah simbol kerjasama dua negara serantau yang menunjukkan model pembangunan desa Malaysia diiktiraf dan dijadikan rujukan oleh negara jiran,” katanya.
Ahmad Zahid turut mengucapkan terima kasih kepada INFRA, sebuah institusi latihan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), kerana merealisasikan usaha berkenaan dengan penuh komited dan dedikasi.
“Saya mendoakan semoga perkongsian ilmu ini memberi manfaat besar kepada peserta sekali gus membuka ruang kerjasama baharu demi kemajuan desa yang lebih lestari. Insya-Allah, ini hanyalah permulaan kepada lebih banyak inisiatif serantau demi kesejahteraan bersama,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial