KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) - Malaysia bersedia memainkan peranan penting dalam mengubah sektor perkhidmatan di rantau ini dengan menjadi tuan rumah Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa ASEAN (AIFTIS) yang julung kali diadakan pada 17-18 November, 2025.
Pameran itu akan menjadi platform untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan defisit perdagangan dalam perkhidmatan dan mengukuhkan daya saing serantau, menurut Gabungan Pembekal-Pembekal Perkhidmatan Malaysia (MSPC) dalam satu kenyataan hari ini.
AIFTIS dianjurkan oleh MSPC dengan kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Ia disokong oleh Nexus Produktiviti Perkhidmatan Profesional (PSPN) di bawah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Acara itu akan berlangsung di Dewan MITI, Kuala Lumpur.
PSPN, salah satu daripada beberapa inisiatif Nexus Produktiviti di bawah MPC, memainkan peranan penting dalam memupuk kerjasama antara industri dan kerajaan untuk memacu produktiviti dan pertumbuhan merentas sektor perkhidmatan profesional Malaysia.
Malaysia mencatatkan defisit perdagangan perkhidmatan sebanyak RM11.7 bilion pada 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang sebahagian besarnya disebabkan oleh kebergantungan negara terhadap kepakaran yang diimport.
AIFTIS dalam hal ini berusaha mengubah trend itu dengan merangka pelan hala tuju yang jelas untuk meningkatkan produktiviti, membangunkan kluster perkhidmatan yang bersedia untuk dieksport dan meletakkan Malaysia sebagai pengeksport bersih perkhidmatan profesional bernilai tinggi.
Aspirasi itu juga selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang merangkumi pelan sektoral khusus untuk Industri Perkhidmatan Global dan Perkhidmatan Profesional.
Pelan itu menekankan usaha memperkukuh kapasiti eksport perkhidmatan Malaysia, meningkatkan daya saing, memperluas infrastruktur digital, menarik bakat bertaraf dunia dan mempercepatkan pengantarabangsaan.
Presiden PSPN Choo Kok Beng berkata AIFTIS bukan sekadar forum tetapi satu seruan untuk bertindak.
“Matlamat kami adalah untuk menterjemahkan dialog kepada deklarasi, menyampaikan hasil yang praktikal bagi mengurangkan kebergantungan kepada perkhidmatan yang diimport, meningkatkan produktiviti sektor perkhidmatan Malaysia dan memperkukuh daya saing global kita,” katanya.
Pameran itu akan menumpukan kepada enam sektor strategik yang penting untuk pertumbuhan produktiviti ASEAN, iaitu perkhidmatan profesional, elektrik dan elektronik, penjagaan kesihatan swasta, pelancongan, pembinaan dan persekitaran binaan, serta sukan dan rekreasi.
Setiap sektor akan mengadakan perbincangan meja bulat bersama pembuat dasar, pemimpin-pemimpin industri, ahli akademik dan pakar antarabangsa untuk bersama-sama merangka penyelesaian yang boleh dilaksanakan, dengan AIFTIS berteraskan empat tonggak strategik produktiviti yang merangkumi pembangunan bakat, menerima pakai teknologi, pembaharuan kawal selia dan kerjasama industri.
Hasil daripada perbincangan itu akan dimasukkan ke dalam Deklarasi Kerjasama Perkhidmatan ASEAN untuk pengesahan serantau, dengan jawatankuasa kerja khusus bagi setiap sektor perkhidmatan yang menghimpunkan wakil daripada kerajaan, industri, badan profesional, institusi latihan dan akademik.
Pendekatan secara kerjasama ini bertujuan memajukan matlamat utama iaitu mengurangkan defisit perdagangan perkhidmatan secara strategik sebanyak 10 peratus setiap tahun sambil meningkatkan lebihan dagangan setiap sektor sebanyak 10 peratus selaras dengan objektif AIFTIS 2025.
Ketua Sekretariat PSPN Mokhzani Aris Mohd Yusoff berkata setiap persatuan yang mengambil bahagian akan meninggalkan AIFTIS dengan mandat yang jelas untuk menyumbang kepada strategi eksport perkhidmatan ASEAN, memperkukuh agenda produktiviti dan memajukan aspirasi Malaysia untuk menjadi peneraju dalam perkhidmatan profesional bernilai tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial