Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia memulakan dagangan hari ini dengan lebih tinggi, menjejaki kenaikan di Wall Street selepas Nvidia Corp mengumumkan kerjasama dengan OpenAI dengan komitmen pelaburan US$100 bilion.
Setakat 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.65 mata kepada 1,606.99 daripada penutupan semalam pada 1,603.34, selepas dibuka pada paras 1,604.90.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 214 berbanding 102, sebanyak 271 kaunter tidak berubah, 2,057 tidak diniagakan dan 37 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 173.33 juta unit bernilai RM97.21 juta.
Mengulas prestasi Wall Street, Malacca Securities Sdn Bhd berkata perbelanjaan modal yang diumumkan akan digunakan untuk membiayai pusat data dengan kapasiti sekurang-kurangnya 10 gigawatt (GW) dikuasakan oleh cip AI canggih keluaran Nvidia bagi melatih dan menggunakan model-model OpenAI.
“Susulan pelaburan US$5 bilion oleh Nvidia dalam Intel, kami menjangkakan sektor teknologi akan berkembang secara berterusan dalam tempoh terdekat.
“Ini akan memacu minat belian lebih tinggi terhadap gergasi teknologi utama, sekali gus menyokong trend kenaikan berterusan di Wall Street,” katanya.
Di peringkat tempatan, firma pembrokeran itu menjangkakan pasaran mencatat dagangan lebih kukuh memandangkan sentimen di Wall Street berkemungkinan melimpah dalam sektor domestik dalam masa terdekat.
“Justeru, kami memilih Itmax System Bhd susulan penyelesaian dan perkhidmatannya yang bersifat berterusan selain kejayaan memperoleh kontrak bernilai kira-kira RM51 juta yang mencecah tempoh sehingga 15 tahun akan datang.
“Bagi segmen pusat data, kami memilih CBH Engineering Holding Bhd berikutan penilaiannya serta pendedahan kukuh kepada projek berkaitan pusat data,” katanya.
Menyentuh kesan rasionalisasi subsidi RON95, Ketua Penyelidik Malacca Securities Loui Low berkata program berkenaan dijangka tidak memberi kesan besar dalam masa terdekat ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter daripada RM2.05, berkuat kuasa 30 September ini di bawah program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95.
Dalam pada itu, saham wajaran tinggi Maybank, Public Bank dan IHH Healthcare masing-masing naik 2.0 sen kepada RM9.86, RM4.29 dan RM7.38, CIMB meraih 1.0 sen kepada RM7.32 manakala Tenaga Nasional meningkat 6.0 sen kepada RM13.48.
Bagi saham aktif, JS Solar yang melakukan kemunculan pertama di Pasaran ACE, melonjak 8.5 sen kepada 39.5 sen manakala NexG dan IFCA MSC masing-masing naik 1.0 sen kepada 51 sen dan 34 sen, NexG Bina menokok 0.5 sen kepada 9.0 sen manakala JAG kekal tidak berubah pada 26 sen.
Kaunter paling untung setakat pagi ini adalah Malaysian Pacific Industries yang naik 20 sen kepada RM29.48; Petronas Gas menokok 18 sen kepada RM18.48; KESM Industries meningkat 17 sen kepada RM3.55; D&O Green Technologies menambah 10 sen kepada RM1.57 dan Pentamaster untung 6.0 sen kepada RM3.88.
Selain itu, kaunter paling rugi adalah United Plantations yang susut 8.0 sen kepada RM23.46; Sime Darby Guthrie turun 7.0 sen kepada RM5.23; Chin Hin menguncup 5.0 sen kepada RM2.23; Ralco Corporation susut 4.5 sen kepada 81 sen dan AMMB Holdings kehilangan 3.0 sen kepada RM5.60.
Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas naik 32.39 mata kepada 11,958.89, Indeks FBMT 100 meraih 30.81 mata kepada 11,707.42, Indeks FBM Emas Syariah menambah 37.08 mata kepada 12,009.03, Indeks FBM 70 melonjak 62.66 mata kepada 16,813.77 manakala Indeks FBM ACE meningkat 7.34 mata kepada 4,981.24.
Bagi sektor pula, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.05 mata kepada 169.23, Indeks Tenaga meraih 2.67 mata kepada 762.04, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 28.11 mata kepada 18,118.31 manakala Indeks Perladangan menguncup 27.78 mata kepada 7,740.10.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial