PUTRAJAYA, 23 Sept (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan seorang peguam syarie daripada pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan bayaran yuran guaman sebanyak RM7,000 daripada seorang pelanggan 13 tahun lepas.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Hashim Hamzah yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Muhammad Hafiz Ab Rashid untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara dua tahun, sebatan dua kali dan denda RM5,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen.
Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, Azmi berkata pendakwaan telah gagal membuktikan kes itu melampaui keraguan yang munasabah.
Beliau berkata Muhammad Hafiz ketika itu sudah tidak berkhidmat dengan firma guaman tempat kejadian dan tiada bukti mencukupi bagi menunjukkan bahawa pelanggan terbabit adalah milik firma guaman berkenaan.
Azmi berkata wang sebanyak RM7,000 yang telah dibayar oleh Siti Robaan Shafii kepada Muhammad Hafiz bukan milik firma guaman terdahulu sebaliknya yuran guaman yang dibayar terus kepada Muhammad Hafiz yang ketika itu menyertai firma guaman lain sebagai rakan kongsi dan secara rasmi dilantik mewakili pelanggan tersebut.
Azmi juga berkata “wakalah” yang ditandatangani pelanggan menunjukkan bahawa beliau telah melantik Muhammad Hafiz melalui firma guaman berbeza dan bukan yang dikaitkan dengan pertuduhan pecah amanah jenayah sebelum ini.
Beliau berkata pelanggan itu turut melantik Muhammad Hafiz untuk mewakilinya dalam dua kes di Mahkamah Syariah yang kedua-duanya diselesaikan sepenuhnya oleh beliau tanpa sebarang penglibatan daripada firma guaman lamanya.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Hafiz, 38, didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor pada 16 Mac 2012 dan dijatuhi hukuman pada 27 Sept 2023.
Mahkamah Tinggi telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya pada 28 Jun tahun lepas.
Pada prosiding hari ini, Muhammad Hafiz diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla manakala Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong hadir bagi pihak pendakwaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial