EKONOMI

Kerajaan Akan Perkenal Beberapa Mekanisme Kawalan Subsidi RON95

23/09/2025 10:37 AM

GEORGE TOWN, 23 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan memperkenalkan beberapa mekanisme kawalan untuk memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 berjalan lancar dan tidak disalah guna.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah itu, antara lain, bagi memastikan golongan seperti pemandu e-hailing yang memerlukan lebih 300 liter sebulan benar-benar layak melalui pengesahan bersama syarikat masing-masing.

“Kalau kelayakan itu ada, mereka boleh memohon dengan sokongan syarikat. Kita boleh mengesahkan penggunaan tersebut melalui rekod sistem e-hailing sama ada benar-benar digunakan untuk bekerja.

“Kerajaan juga tidak akan membenarkan penggunaan yang terlalu banyak dalam sehari,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Mega E-Invois Siri 2/2025 Peringkat Nasional di sini, hari ini.

Beliau berkata semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu layak menerima siling kelayakan bulanan subsidi bersasar petrol RON95 atau BUDI MADANI RON95 (BUDI95) hingga 300 liter sebulan.

Amir Hamzah berkata persediaan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 berada pada tahap yang baik selepas semua syarikat minyak mengesahkan kesiapsiagaan masing-masing termasuk kemudahan mesin di stesen minyak.

“Mesin untuk digunakan di kedai sudah disediakan dan kebanyakan syarikat minyak juga telah mengaktifkan sistem di terminal pembayaran sama ada di pam atau di kaunter stesen minyak.

“Persediaan ini mencukupi, namun kita tahu tiada perkara yang sempurna dan sesuatu yang baharu mungkin menghadapi sedikit kesukaran, jadi saya harap rakyat dapat bersabar. Perkara yang penting, kerajaan akan tetap memenuhi janji,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan