EKONOMI

Malaysia Berada Di Landasan Capai Sasaran Defisit Susulan Penjimatan Subsidi BUDI95 Hingga RM4 Bilion

23/09/2025 08:50 PM

SHAH ALAM, 23 Sept (Bernama) -- Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran defisit belanjawan tahun ini sebanyak 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berikutan pelaksanaan program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95), kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Bercakap semasa taklimat media mengenai BUDI95 di sini hari ini, Amir Hamzah berkata kerajaan menjangka penjimatan tahunan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion melalui subsidi bersasar RON95, dan menyasarkan kejayaan yang sama seperti sistem subsidi diesel bersasar yang telah diperkenalkan.

Menurutnya sistem subsidi diesel bersasar telah melebihi jangkaan, dengan anggaran penjimatan antara RM6 bilion hingga RM7 bilion berbanding sasaran awal RM4 bilion.

“Bagi RON95, subsidi akan ditarik balik untuk golongan tidak layak, memberikan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion,” katanya sambil menambah jumlah sebenar bergantung kepada harga minyak global.

Amir Hamzah berkata sekiranya harga minyak dunia meningkat, jumlah subsidi untuk rakyat Malaysia juga akan meningkat.

Katanya kerajaan akan mengenakan kos bahan api sepenuhnya kepada mereka yang tidak layak sekali gus membolehkan penjimatan disalurkan semula kepada kewangan negara.

Anggaran penjimatan ini dilaporkan semalam berdasarkan harga minyak mentah kira-kira US$75 setong.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter berkuat kuasa 30 September ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata semua warganegara yang memiliki lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95, dan berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan serta Jabatan Pendaftaran Negara, dianggarkan lebih 16 juta orang layak menerima subsidi itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan