PUTRAJAYA, 23 Sept (Bernama) — Kerajaan MADANI memperuntukkan sekitar RM11 bilion untuk menampung perbezaan antara harga bersubsidi RM1.99 seliter dan harga pam tanpa subsidi sekitar RM2.60 seliter di bawah inisiatif subsidi petrol BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi melindungi kesejahteraan rakyat.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan dengan memansuhkan subsidi pukal, kerajaan MADANI mengunjurkan BUDI95 akan menjana penjimatan antara RM2.5 bilion dan RM4 bilion setahun.
“Penjimatan ini akan digunakan untuk memperluas bantuan bersasar yang memberi manfaat terus kepada rakyat, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” menurut kenyataan itu.
MoF memaklumkan BUDI95 iaitu sistem subsidi petrol RON95 yang disasarkan khusus untuk rakyat Malaysia, telah direka dan diteliti agar prosesnya tidak menyulitkan rakyat dan pada masa yang sama memberi manfaat kepada penerima.
Menurutnya, semua warganegara Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak secara automatik untuk membeli RON95 sehingga 300 liter sebulan.
“Siling kelayakan bulanan ini telah ditetapkan berdasarkan dapatan kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), di mana 99 peratus pemandu kenderaan persendirian di Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan.
“Kelayakan 300 liter ini adalah memadai untuk seorang pekerja yang memandu kereta Proton Saga berulang-alik sejauh 200 kilometer dari Seremban ke Puncak Alam selama sebulan,” katanya.
MOF memaklumkan siling kelayakan bulanan yang tinggi ini juga menjadi penampan terhadap eksploitasi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab, sama ada penyeludup di sempadan mahupun syarikat komersial berskala besar.
“Bagi memudahkan rakyat menyemak profil kelayakan dan baki penggunaan kelayakan bulanan, MoF memaklumkan bahawa kerajaan telah menyediakan portal www.budimadani.gov.my yang akan dibuka untuk kegunaan orang ramai pada 25 September, bermula jam 9 pagi.”
“Pemandu e-hailing juga boleh memohon tambahan kepada siling kelayakan mereka di portal ini,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian bantuan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai BUDI MADANI di talian 1300-88-9595, bermula 9 pagi Khamis ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa pada 30 Sept ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata semua warganegara yang memiliki lesen memandu sah layak untuk subsidi RON95 dan berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), dianggarkan lebih 16 juta orang layak menerima subsidi itu.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, MoF memaklumkan kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk mengehadkan pembelian RON95 seperti yang dilaporkan oleh beberapa media.
"Walaupun kerajaan sedang meneliti langkah untuk mengelakkan penyalahgunaan subsidi RON95, BUDI95 dilaksanakan dengan hasrat untuk memastikan keperluan harian rakyat dapat dipenuhi.
"Had pembelian hanya sekali sehari jelas tidak selaras dengan tujuan itu," tambah Kementerian Kewangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial