KUCHING, Sept 21 (Bernama) -- Kuching City FC mahu mengekalkan momentum kemenangan apabila berdepan Imigresen FC dalam saingan Liga Super 2025/2026 pada 28 Sept ini.
Ketua jurulatih Kuching City FC Aidil Sharin Sahak berkata anak buahnya telah mempamerkan aksi memberangsangkan terutama pada separuh masa kedua, untuk mencatat kemenangan 1-0 ke atas Selangor FC di Stadium Negeri malam ini.
“Kita tukar sedikit perancangan selepas membawa masuk Jordan Mintah, Joao Pedro dan Filemon Standly, dan ia berhasil. Saya berpuas hati dengan prestasi pemain hari ini,” katanya pada sidang media pascaperlawanan hari ini.
Pada aksi hari ini, Ramdhan Saifullah muncul wira apabila meledak gawang lawan menerusi sepakan percuma pada minit ke-68 menewaskan penjaga gol Selangor Kalamullah Al-Hafiz.
Kuching City kini menghuni tangga keempat liga dengan mengumpul tujuh mata selepas empat perlawanan, memintas kedudukan Selangor yang mengumpul enam mata selepas lima perlawanan.
Mengenai persiapan menjelang pertemuan dengan Imigresen FC, Aidil Sharin berkata konsistensi amat penting dalam mengekalkan momentum kemenangan skuad bimbingannya.
“Paling utama ialah mengekalkan momentum, tingkatkan konsistensi dan kekal pada tahap ini sepanjang musim. Diharap kami dapat membawa tenaga ini ke perlawanan seterusnya.
“Mengenai keadaan penyerang import Wanja Ronald Ngah, beliau hanya mengalami kekejangan otot dan bukannya kecederaan. Beliau sudah memberikan segalanya walaupun tidak menjaringkan gol. Saya tetap berpuas hati dengan prestasinya dan menjangkakan dia cergas untuk aksi menentang Imigresen FC,” katanya.
Sementara itu, ketua jurulatih Selangor FC Katsuhito Kinoshi mengakui kekalahan tersebut sukar diterima, apatah lagi pasukannya berdepan jadual padat serta keletihan akibat perjalanan.
“Kita baru selesai perlawanan dua hari lepas (Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia 2) dan tiba di (Kuching) semalam, ia situasi yang agak sukar,” katanya.
Bagaimanapun, pengendali dari Jepun itu tetap optimis untuk kembali lebih baik pada aksi seterusnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial