SUKAN

20 Pasukan Korporat Rebut Kejuaraan Pada Final WCGC Kebangsaan

21/09/2025 11:39 PM

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- World Corporate Golf Challenge (WCGC) Malaysia bakal mencapai kemuncaknya apabila 20 pasukan korporat elit mewakili 20 syarikat ternama, bersedia beraksi di Kota Permai Golf & Country Club yang berprestij bagi Pusingan Akhir Kebangsaan, 25 Sept ini.

Pusingan akhir itu bukan sahaja akan menampilkan persaingan bertaraf tinggi, malah turut meraikan semangat penyatuan melalui sukan, perniagaan dan ukhuwah.

Hadiah utama menanti juara pusingan akhir kebangsaan itu ialah mewakili Malaysia ke Final WCGC Dunia di Shanghai, China, dari 19 hingga 23 Okt.

Mereka akan bersaing dengan wakil 32 negara di Shanghai Dongzhuang Beach Golf Club, dengan Linksland Course menjadi venue World Corporate Golf Challenge manakala Parkland Course pula menjadi pentas Sports Legend Cup.

Penasihat WCGC Malaysia Mohd Salim Mohamed Sain dalam satu kenyataan berkata acara itu bukan sekadar kejohanan golf korporat berprestij, tetapi juga platform yang meraikan kecemerlangan korporat, persahabatan antarabangsa dan semangat persaingan sihat.

“Dengan menganjurkan WCGC di Selangor, kami berhasrat untuk meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam arena sukan korporat global,” katanya.

WCGC Malaysia dianjurkan di bawah naungan diraja Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Ini lebih daripada sekadar cabaran golf, ia satu platform yang menyatukan pemimpin korporat, penaja serta ikon sukan untuk membina jaringan dan menonjolkan kecemerlangan.

“Saya menantikan untuk menyaksikan semangat persaingan dan kerjasama ketika Malaysia melangkah ke pentas final dunia,” titah Tengku Amir yang dijangka berangkat ke majlis penyampaian hadiah Pusingan Akhir Kebangsaan.

Final kebangsaan tahun ini merupakan kemuncak kepada empat pusingan kelayakan kompetitif yang disertai lebih 480 peserta, bermula di Kelab Golf Seri Selangor pada 22 Mei dengan penyertaan 108 pemain, diikuti Tropicana Golf & Country Resort pada 24 Jun (124 pemain), Glenmarie Golf & Country Club pada 22 Julai (132 pemain) dan Templer Park Country Club pada 21 Ogos (120 pemain).

Lima pasukan teratas daripada setiap pusingan kelayakan mara, sekali gus menghimpunkan 20 pasukan golf korporat terbaik Malaysia di Kota Permai GCC bagi penentuan gelaran juara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan