JOHOR BAHRU, 20 Sept (Bernama) -- Bagi memastikan beliau mampu menunaikan ibadah haji pada Mei lepas, Zaliha Abd Rahman, 50, bertekad menjalani pembedahan membuang rahim sebulan sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Ibu kepada lima anak itu pada awalnya bimbang tentang tempoh pemulihan singkat, namun takdir menemukan beliau dengan teknologi pembedahan robotik Da Vinci di Hospital Pakar Johor (JSH), menjadikannya pesakit pertama rangkaian KPJ Zon Selatan menerima rawatan berteknologi tinggi itu.
“Saya berjumpa dengan Dr Sharifah pada Mac dan diberitahu perlu jalani pembedahan. Pada masa itu, saya sudah bersiap sedia untuk menunaikan haji. Jadi, saya mahu pastikan kesihatan benar-benar terjamin. Saya buat banyak carian di Google mengenai Da Vinci tetapi kebanyakan maklumat hanya ada dari luar negara.
“Apa yang buat saya lebih yakin ialah apabila terbaca ulasan pakar yang menjelaskan pembedahan manual boleh menyebabkan pakar bedah penat selepas beberapa kali melakukan prosedur (mengakibatkan gegar tangan) tetapi dengan mesin Da Vinci, operasi kekal konsisten dan jitu,” katanya.
Zaliha melahirkan rasa syukur apabila prosedur menggunakan Da Vinci membolehkannya pulih sepenuhnya dalam tempoh hanya dua minggu.
“Saya benar-benar terkejut kerana kesakitan amat minimum dan saya sudah boleh berjalan pada keesokan harinya (selepas pembedahan). Sebagai seorang ibu yang bekerja dan juga bakal jemaah haji, ini sangat memudahkan dan mengurangkan kebimbangan saya,” katanya.
Sementara itu, Pakar Obstetrik dan Ginekologi, Perubatan Reproduktif Hospital Pakar Johor Dr Sharifah Shahirah Syed Hashim yang mengetuai pembedahan itu berkata teknologi Da Vinci membuka lembaran baharu dalam bidang sakit puan di Malaysia.
“Dengan bantuan Da Vinci, kami dapat mengurangkan kebergantungan pesakit terhadap ubat tahan sakit, luka lebih kecil dan tempoh pemulihan lebih cepat. Ia benar-benar memberi alternatif lebih baik berbanding pembedahan konvensional,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau menjelaskan prosedur menggunakan sistem Da Vinci dilaksanakan melalui tiga komponen utama iaitu troli sisi pesakit untuk persediaan awal pesakit dan pemasangan skrin, konsol pakar bedah (tempat pakar mengawal pergerakan) serta unit monitor yang menjadi ‘otak’ bagi sistem canggih berkenaan.
“Pergerakan instrumen ini meniru dengan tepat apa yang saya lakukan di konsol tetapi dalam skala lebih halus. Ia seolah-olah menjadikan pergerakan tangan kita kecil dan lebih jitu, membolehkan pembedahan dijalankan dengan tahap ketepatan yang mustahil dicapai secara manual.
“Selain itu, sistem ini juga menyediakan visualisasi 360 darjah yang sangat jelas, memberi pandangan menyeluruh di sekitar kawasan pembedahan yang sebelum ini tidak dapat dilihat dengan teknik biasa,” katanya.
Dr Sharifah Shahirah berkata sebelum layak mengendalikan sistem itu, beliau perlu menjalani latihan intensif selama lima bulan bermula pada Oktober tahun lepas, melibatkan latihan secara modul dalam talian, simulasi, sistem video, termasuk pembedahan ke atas haiwan.
“Selepas itu, kami menjalani pemerhatian kes sebenar, latihan secara individu bersama pakar berpengalaman, dan setiap pembedahan awal dipantau oleh pakar bedah yang sudah berpengalaman untuk satu hingga sembilan kes,” katanya.
Beliau melakukan kes pertama menggunakan teknologi robotik pada Mac tahun ini, menjadikannya antara pakar terawal di Malaysia yang melaksanakan pembedahan sakit puan berasaskan teknologi canggih itu.
Mesin pembedahan robotik Da Vinci ialah teknologi canggih dengan lengan robotik dikawal pakar bedah melalui konsol, membolehkan pembedahan lebih tepat, kurang invasif, luka kecil, risiko rendah dan pemulihan cepat.
Setakat ini, KPJ Healthcare Berhad memiliki dua unit sistem pembedahan Da Vinci iaitu di Hospital Pakar Johor dan Hospital Pakar Damansara 2.
Kumpulan itu merancang untuk menambah dua lagi mesin berkenaan dalam masa terdekat bagi memperluaskan akses rawatan robotik kepada lebih ramai pesakit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial