DUNIA

Pelabur Teliti Impak AS Turun Kadar Faedah, Ringgit Diunjur Bergerak Dalam Julat Kecil

20/09/2025 11:01 AM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan dalam julat lebih kecil namun cenderung meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan ketika pelabur meneliti aliran dagangan susulan keputusan negara maju itu menurunkan kadar faedah utamanya.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata urus niaga itu juga dijangka menumpukan data-data penting AS, termasuk pengumuman Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan AS pada Selasa ini yang menjadi antara petunjuk makro negara maju berkenaan.

Bagaimanapun, pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2025 AS pada minggu depan akan diikuti rapat bagi mengenal pasti petunjuk-petunjuk momentum ekonomi serta potensi implikasinya terhadap hala tuju dasar Rizab Persekutuan AS (Fed).

“Kompas pasaran juga berkemungkinan dihalakan kepada kenyataan pegawai Fed. Jika nada mereka lebih cenderung atau berpihak kepada menurunkan kadar faedah berbanding kenyataan berhati-hati Pengerusi Jerome Powell, dolar AS lebih mudah untuk susut manakala ringgit mengukuh semula,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula mengunjurkan mata wang negara pesat membangun, termasuk ringgit akan mendapat tarikan jika pelabur menganggap Fed ketinggalan dalam memberi reaksi terhadap dasar monetari.

“Setakat ini, bank pusat itu lebih dilihat sebagai berada di landasan tepat dalam mengemudi dasar monetari,” katanya.

Berikutan itu, beliau mengunjurkan ringgit berkemungkinan kekal di atas paras 4.20 berbanding dolar AS dalam masa terdekat ini.

Bagi asas perbandingan mingguan, ringgit mengakhiri urus niaga minggu ini dengan lebih rendah berbanding dolar AS pada 4.2040/2115 berbanding 4.1975/2080 sebelumnya.

Unit tempatan itu juga diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 2.8419/8471 daripada 2.8373/8446 minggu sebelumnya dan rendah berbanding euro kepada 4.9447/9536 daripada 4.9203/9326, namun meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6775/6876 daripada 5.6864/7006.

Selain itu, ringgit memaparkan prestasi bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Berbanding dolar Singapura, ringgit susut kepada 3.2744/2805 daripada 3.2719/2803 minggu lepas dan turun berbanding peso Filipina kepada 7.36/7.38 daripada 7.35/7.37.

Ringgit naik berbanding rupiah Indonesia kepada 253.2/253.8 daripada 256.3/257.0 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.1973/2271 daripada 13.2317/2703 minggu sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan