AM

Sultan Pahang Berkenan Kurnia Rumah Ru’RASA Kepada 50 Penerima

19/09/2025 09:11 PM

KUANTAN, 19 Sept (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Paya Luas di sini.

Menurut hantaran di Facebook rasmi Kesultanan Pahang hari ini, keberangkatan tiba baginda pada 12.20 tengah hari dengan memandu sendiri, diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut hantaran itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyerahkan kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) kepada 50 penerima melibatkan penduduk dari Temerloh, Bera, Jerantut dan Maran.

Baginda menzahirkan harapan agar pemberian rumah Ru'RASA atau apa sahaja jenis rumah yang diusahakan kerajaan negeri untuk rakyat dihargai dengan sebaik mungkin.

“Jadikanlah rumah yang diterima ini seperti syurga untuk berteduh bersama keluarga. Rumah ini untuk penerima dan anak cucu tinggal di situ buat selamanya, jangan cepat fikir perkara yang tidak baik.

“Jaga rumah ini sebaik mungkin, jadikan ia sebagai tempat untuk menunaikan ibadah dengan selesa,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan supaya inisiatif perumahan seperti Ru’RASA diperluas kepada semua kaum kerana mereka juga merupakan rakyat Pahang.

Selain itu, baginda bertitah supaya isu bekalan air yang masih dihadapi rakyat di kampung tradisional serta perkampungan Orang Asli diberi perhatian segera dan tidak hanya menumpukan kepada projek sedang berjalan.

“Saya harap masalah air ini dapat diselesaikan secara berkesan. Dalam masa terdekat saya mahu taklimat terperinci di pejabat saya mengenai projek bekalan air untuk saya lihat sendiri. Kali ini saya mahu melihat dengan lebih dekat projek sedang dijalankan di seluruh daerah di negeri Pahang,” titah baginda.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan