DUNIA

UNGA Lulus Resolusi Benarkan Presiden Palestin Sampaikan Ucapan Melalui Rakaman Video

20/09/2025 05:22 PM

WASHINGTON, 20 Sept (Bernama-Anadolu) -- Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Jumaat menerima pakai resolusi yang membenarkan Presiden Palestin Mahmoud Abbas menyampaikan ucapan pada Perbahasan Umum peringkat tinggi minggu depan melalui kenyataan yang telah dirakam.

Usul mengenai penyertaan Negara Palestin dalam sesi ke-80 Perhimpunan itu diluluskan dengan 145 undi menyokong, enam berkecuali dan lima menentang, termasuk Amerika Syarikat dan Israel, lapor Anaolu Ajansi.

Langkah itu diambil selepas Washington menolak dan membatalkan visa untuk Abbas dan pegawai kanan Pihak Berkuasa Palestin, sekali gus menghalang mereka daripada melakukan perjalanan ke New York bagi perhimpunan tahunan PBB itu.

Keputusan AS itu dibuat selepas pengumuman United Kingdom, Perancis, Australia dan Kanada mengenai rancangan mereka untuk mengiktiraf Negara Palestin semasa mesyuarat PBB akan datang, menyertai 147 negara yang sudah berbuat demikian.

Duta Palestin Riyad Mansour mengucapkan terima kasih kepada negara-negara yang menyokong resolusi itu, dengan menyifatkannya sebagai “pendirian yang amat jelas” bahawa negara tuan rumah mesti menghormati kewajipannya di bawah Perjanjian Ibu Pejabat PBB.

Beliau berkata penafian visa itu adalah “penyalahgunaan kuasa dan hukuman terhadap Negara Palestin yang tidak sepatutnya berlaku,” sambil menegaskan Palestin tidak akan berundur walau seinci daripada haknya untuk menyertai PBB sepenuhnya.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan