DUNIA

Macron Sahkan Perancis Akan Iktiraf Palestin Pada 22 Sept

20/09/2025 06:08 PM

MOSCOW, 20 Sept (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Presiden Perancis Emmanuel Macron mengesahkan bahawa Perancis akan mengiktiraf Negara Palestin pada 22 Sept semasa mesyuarat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Sesi ke-80 UNGA telah bermula di New York pada 9 Sept. 

Mengikut tradisi, ia akan merangkumi minggu peringkat tinggi, dengan perbahasan umum dijadual berlangsung dari 23 hingga 27 Sept serta pada 29 Sept.

“Saya baru sahaja berbincang dengan Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas … Saya menegaskan kembali kepada Presiden Abbas tentang hasrat saya untuk mengiktiraf Negara Palestin pada Isnin di New York,” tulis Macron di platform X pada Jumaat.

Beliau berkata bahawa keputusan itu adalah sebahagian daripada pelan damai lebih menyeluruh bagi rantau berkenaan.

Dalam responsnya, Abbas mengesahkan tekadnya untuk melaksanakan pembaharuan yang diperlukan bagi memperbaharui kepimpinan Palestin.

Pada Jumaat, akhbar Politico melaporkan bahawa Israel sedang mempersiapkan langkah balas terhadap pengiktirafan Palestin oleh Perancis. 

Langkah itu termasuk mempercepatkan proses pengilhakan di Tebing Barat serta menutup konsulat Perancis di Baitulmuqaddis. 

Seorang diplomat Perancis memberitahu akhbar itu bahawa Paris pada masa sama sedang mempertimbangkan pelbagai senario untuk memberi respons terhadap tindakan Israel.

Negara Palestin kini diiktiraf oleh 147 negara, termasuk Rusia. 

Pada 2024, AS memveto keahlian penuh Palestin di PBB. 

Sejak 2024, sepuluh negara telah mengiktiraf Palestin, termasuk Ireland, Norway, Sepanyol dan Armenia.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan