AM

Malaysia Perhebat Transformasi Bandar Pintar Menerusi AI - Nga

19/09/2025 12:16 AM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Malaysia sedang memperhebat usaha mentransformasikan bandarnya menjadi ruang yang pintar, mampan dan berpusatkan rakyat menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming. 

Dalam ucapan sempena Majlis Makan Malam Pemimpin Bandar bersempena Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur 2025 malam ini, Nga berkata teknologi AI sedang merevolusikan cara bandar dirancang, dibina dan diurus, dan Malaysia komited untuk memanfaatkan teknologi itu sebagai sebahagian daripada matlamat menjadi Negara AI menjelang 2030. 

“Sebagai sebahagian daripada visi ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkerjasama dengan Kementerian Digital untuk mempercepatkan penerapan AI dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui inisiatif Bandar AI,” katanya. 

Nga berkata inisiatif itu akan membolehkan pengurusan trafik, pengangkutan awam, peruntukan sumber dan keselamatan awam dipacu oleh sistem pintar yang bersifat ramalan, manakala PBT akan dilengkapi dengan alatan digital serta latihan bagi membolehkan mereka bertindak sebagai agen perubahan.

Pada masa sama, beliau berkata agenda bandar pintar Malaysia juga akan menekankan mengenai perumahan pintar yang mampu milik, mudah diakses dan mampan. 

Beliau berkata projek di bawah Program Residensi Rakyat (PRR), Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan PR1MA kini sedang dipertingkatkan dengan reka bentuk yang mesra alam, sensor Internet Pelbagai Benda (IoT) serta platform digital bagi memudahkan penduduk mengakses perkhidmatan dan menyertai proses tadbir urus dengan lebih mudah.

“Sebuah rumah bukan sekadar bumbung untuk berlindung tetapi merupakan harapan dan impian rakyat. Justeru, agenda perumahan kita meletakkan keterangkuman, kebolehcapaian, keselesaan dan kemampanan sebagai teras utama,” katanya. 

Tambah Nga, Program Penarafan Bandar Pintar yang diperkenalkan kementeriannya pada 2023 juga memainkan peranan penting dalam menyokong aspirasi AI negara, dengan 82 PBT telah menyertainya dan lebih banyak lagi dijangka turut serta.

Majlis makan malam tersebut turut dihadiri tetamu kenamaan termasuk Menteri Digital Gobind Singh Deo, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dan Ketua Pegawai AI dan dan Data VCI- Global Dr Chan Wai Mun. 

Berkongsi pengalaman lawatan ke Guilin, China baru-baru ini, Nga berkata Malaysia telah bersetuju untuk melaksanakan projek perintis pusat kawalan bandar pintar di Perak dan Pulau Pinang, dengan fokus kepada infrastruktur pintar, keterhubungan digital, teknologi hijau dan reka bentuk perumahan inovatif yang diinspirasikan daripada model seperti “City Brain” di Hangzhou. 

Beliau turut mengumumkan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah edisi Asia Tenggara bagi Kongres Ekspo Bandar Pintar Dunia (SCEWC), sekali gus menyertai rangkaian global yang merangkumi Amerika Syarikat, Mexico, Brazil, Chile, Arab Saudi dan China.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan