AM

Pintas Utama Terima Penghargaan Atas Sumbangan Kepada Jemaah Haji

18/09/2025 10:17 PM

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Syarikat Pintas Utama hari ini menerima plak penghargaan daripada Tabung Haji (TH) atas sumbangan syarikat itu dalam menaja set beg kepada jemaah sepanjang musim haji 1446H/2025. 

Pintas Utama dalam kenyataan hari ini memaklumkan penghargaan itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pintas Utama Datuk Ir Marhalim Mohamed pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan kepada Sahabat Korporat TH di sini hari ini. 

Agihan set beg itu telah dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negeri semasa penganjuran Kursus Perdana Haji.

“Bagi jemaah haji di Selangor, agihan dilakukan pada April lepas bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

“Sumbangan ini adalah sebahagian daripada inisiatif tahunan Pintas Utama dalam menyantuni keperluan jemaah haji, di samping memudahkan perjalanan ibadah mereka di Tanah Suci,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Marhalim berkata sumbangan tahun ketiga itu amat bermakna bagi syarikat berkenaan kerana ia menjadi simbolik kepada pencapaian syarikat yang kukuh sehingga mampu memberi manfaat kepada ramai pihak, termasuk jemaah haji Muassasah.

“Sumbangan ini, walaupun sederhana, sedikit sebanyak dapat membantu melengkapkan persiapan mereka sebelum menunaikan ibadah haji,” katanya dalam kenyataan sama. 

Selain mengukuhkan kedudukan sebagai syarikat yang berpengalaman dalam bidang pengurusan cerun dan infrastruktur, Pintas Utama kekal konsisten melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, termasuk inisiatif pendidikan, kebajikan dan sokongan komuniti.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan