AM

MERCY Malaysia Sumbang Peralatan Perubatan RM340,200 Kepada HRPB

20/09/2025 08:32 PM

IPOH, 20 Sept (Bernama) -- MERCY Malaysia menyumbangkan peralatan perubatan bernilai RM340,200 kepada Unit Penjagaan Kritikal Neurosurgeri (NCCU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), hari ini.

Peralatan berkenaan merangkumi ventilator mudah alih, monitor pesakit unit rawatan rapi (ICU), sistem pengurusan cecair serta pam peranti pencegah darah beku (DVT).

Presidennya Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus menyerahkan sumbangan itu kepada Timbalan Pengarah Perubatan II HRPB  Dr Yu Fai Ying.

Dr Ahmad Faizal berkata sumbangan itu susulan keperluan mendesak bagi memperkukuh fungsi NCCU, selain memastikan pesakit menerima rawatan terbaik.

Beliau berkata usaha yang digerakkan itu juga adalah sebahagian daripada mandat kesihatan MERCY Malaysia dalam menyokong sistem perkhidmatan awam, khususnya bidang perubatan dan kesihatan.

“Ini kali kedua NCCU HRPB menerima sokongan selepas sumbangan lebih RM200,000 pada 2021 ketika pandemik COVID-19,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan berangkat ke majlis penyerahan sumbangan itu. Keberangkatan tiba baginda pada pukul 3 petang diiringi Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Feisul Idzwan Mustapha dan Dr Ahmad Faizal.

Sementara itu, Dr Feisul Idzwan berkata HRPB merekodkan jumlah pesakit neurosurgeri antara tertinggi di negara ini dengan 1,025 kes dilaporkan dari April hingga Ogos lalu.

“Bilangan pesakit bukan sahaja melibatkan rakyat Perak, malah termasuk dari Cameron Highlands, Pahang dan utara Selangor. Sumbangan ini diyakini dapat membantu memperkukuh rawatan pesakit strok serta kes neurosurgeri kritikal di Perak,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan