KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Agrobank menyumbang sebanyak RM58,000 kepada lima sekolah terpilih di Kedah bagi menyokong Program Tuisyen Intensif Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bimbingan motivasi kepada pelajar daripada golongan B40 serta keluarga pesawah.
Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dalam kenyataan berkata sumbangan di sekolah sekitar Alor Setar itu adalah sebahagian daripada komitmen Agrobank untuk memperkasakan generasi muda, khususnya anak-anak pesawah, petani dan komuniti B40 yang menjadi tunjang masa depan ekonomi negara.
“Agrobank bukan sahaja menyediakan kemudahan pembiayaan kepada pesawah dan petani, tetapi kami turut menitikberatkan pendidikan anak-anak mereka melalui pendidikan yang berkualiti bagi memastikan tiada yang ketinggalan walaupun mereka berasal daripada latar belakang kurang berkemampuan.
“Kami berbesar hati dapat membantu sebanyak 200 pelajar melalui program ini,” katanya.
Lima sekolah yang terpilih itu termasuk Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Keat Hwa, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Kuala, SMK Tajar, SMK St. Michael dan SMK Tunku Abdul Rahman.
Beliau berkata Program Tuisyen Intensif SPM yang direka khusus untuk membantu pelajar membuat persiapan rapi menghadapi peperiksaan SPM akan datang akan diadakan setiap Sabtu atau Ahad, selama 10 minggu di sekolah-sekolah terlibat.
Melalui usaha berterusan seperti ini, Agrobank berharap dapat melahirkan pelajar cemerlang yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan menjamin kesejahteraan masa depan komuniti.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial