KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di ibu negara yang beroperasi pada hujung minggu menjadi pilihan orang ramai untuk menukar atau membaharui MyKad, sekali gus memudahkan mereka tanpa perlu mengambil cuti pada hari bekerja.
Tinjauan Bernama mendapati orang ramai mula memenuhi UTC seawal 8 pagi untuk urusan berkaitan dengan MyKad kerana kad pengenalan itu penting bagi melancarkan urusan harian seperti transaksi perbankan, bantuan kerajaan serta rawatan kesihatan.
Bagi peniaga pasar malam, Borhanuddin Othman, 52, keputusannya menukar MyKad dibuat selepas lebih 13 tahun menggunakan kad yang lama.
“Sekarang banyak bantuan kerajaan guna kad pengenalan, ada Sumbangan Asas Rahmah (SARA), nanti subsidi minyak pun kena guna MyKad. Takut kalau tiba-tiba rosak, urusan lain jadi susah,” katanya ketika ditemui di UTC Keramat.
Urusan berkaitan MyKad menjadi tumpuan susulan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada semalam, mengingatkan orang ramai untuk segera memeriksa MyKad bagi memastikan cip berfungsi dengan baik.
MyKad, dokumen pengenalan diri rakyat Malaysia, kini menjadi kunci utama bagi pelbagai urusan rasmi dan akses kepada sistem bantuan kerajaan termasuk SARA, justeru fungsinya perlu sentiasa dipastikan beroperasi dengan baik.
Selain Borhanuddin, suri rumah Noraini Abdullah, 36, tiba di UTC itu pada 8 pagi untuk menukar MyKadnya disebabkan terdapat kerosakan pada cip sehingga menyebabkan urusannya tergendala ketika melakukan transaksi di bank.
"Dua hari lepas, saya nak buat urusan pembukaan akaun simpanan baharu, tetapi alat pengesan cap jari itu tidak dapat membaca kad pengenalan saya.
"Pihak bank meminta untuk membuat penukaran MyKad kerana terdapat kerosakan pada cip kad saya. Buat di UTC pun senang sebab kaunter banyak dibuka dan tidak perlu tunggu lama," katanya.
Sementara itu, seorang akauntan, Fatimah Zahra Mohd Salleh, 34, berkata dia memilih untuk memperbaharu MyKad selepas menghadapi masalah di klinik kesihatan apabila cip pada kad pengenalan miliknya itu gagal dibaca oleh sistem pendaftaran.
“Pegawai klinik beritahu maklumat saya tidak dapat diakses disebabkan cip MyKad saya ada kesan calar, jadi saya perlu juga untuk membaharui MyKad saya ini sebab banyak urusan yang nak dibuat menggunakan kad pengenalan.
"Mujur juga UTC dibuka pada hujung minggu, kalau hari lain kita perlu ambil cuti pula. Waktu menunggu pun lebih kurang sejam sahaja kalau buat di UTC," katanya.
Sebagai dokumen pengenalan diri utama, MyKad dilengkapi cip keselamatan, menyimpan maklumat peribadi dan pelbagai aplikasi termasuk rekod kesihatan dan akses kepada sistem bantuan kerajaan.
Orang ramai boleh mengunjungi kaunter JPN di seluruh negara bagi urusan pembaharuan MyKad dengan bayaran sebanyak RM10 sahaja atau secara percuma jika kerosakan berlaku dalam tempoh 12 bulan dari tarikh serahan kad.
Selain kaunter JPN, permohonan atau penggantian MyKad juga boleh dibuat melalui bas dan van bergerak MEKAR, talian MyPhone-In dan secara dalam talian JPN e-Services.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial