BERITA TERGEMPAR   Earthquake: 15 government buildings in Segamat suffered minor damage, estimated repair cost is RM550,550 - Ahmad Maslan | 
 AM

KPKT Lulus RM281.9 Juta Naik Taraf Lebih 1,700 projek Kemudahan Awam

08/09/2025 01:16 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan berjumlah RM281.9 juta bagi tempoh 2024 hingga 31 Julai lepas untuk menaik taraf kemudahan awam di seluruh negara.

Menteri berkenaan Nga Kor Ming berkata peruntukan itu membabitkan 1,730 projek di bawah skop kemudahan awam termasuk penyelenggaraan dan menaik taraf tandas awam, dewan serba guna serta kemudahan rekreasi.

“KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) turut menyediakan peruntukan projek kecil di bawah Projek Pembangunan BP.1 kepada 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara. Peruntukan ini berdasarkan permohonan PBT yang terbahagi kepada empat skop, iaitu infrastruktur, kemudahan awam, sosioekonomi dan keselamatan,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Nga menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa yang ingin tahu sasaran pembaharuan dalam mereformasi pembersihan awam negara, terutama dalam memastikan selenggaraan kawasan taman awam dan kemudahan rekreasi dipelihara.

Beliau berkata bagi negeri yang menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), kerajaan Persekutuan melalui KPKT melantik tiga syarikat konsesi untuk melaksanakan perkhidmatan kutipan sisa pepejal serta pembersihan termasuk di taman awam.

Beliau berkata bagi negeri yang tidak menerima pakai akta berkenaan, pembersihan taman awam terletak di bawah bidang kuasa PBT masing-masing.

Sementara itu, KPKT mengalu-alukan penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan dron bagi membantu pemantauan kebersihan serta kerosakan kemudahan awam, namun pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat.

“Kementerian mengalu-alukan pemakaian teknologi terkini termasuk AI, teknologi dron dan lain-lain. Kita memang menuju ke arah itu, tetapi hal ini tidak boleh dilaksanakan sekali gus untuk semua kerana PBT juga ada tiga peringkat, iaitu bandar raya, perbandaran dan majlis daerah,” katanya.

Nga menjawab soalan tambahan Senator Datuk Rosni Sohar sekiranya terdapat penggunaan teknologi AI yang digunakan secara automatik untuk memantau kebersihan dan kerosakan yang berlaku di taman-taman awam di seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan