AM

Dewan Negara Lulus Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 

08/09/2025 06:05 PM

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama)  -- Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 bertujuan memperuntukkan kewajipan, tanggungjawab, tadbir urus dan ketelusan dalam perolehan kerajaan.

RUU itu diluluskan menerusi undi belah bahagian yang menyaksikan 33 Senator bersetuju, lapan tidak bersetuju, dua tidak mengundi dan 14 tidak hadir.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memberi jaminan bahawa kementerian mengambil kira cadangan khususnya dalam menggubal peraturan dan arahan supaya memperkukuh kriteria bagi perolehan secara rundingan terus dan menambah baik penzahiran penganugerahan perolehan secara rundingan terus.

Beliau berkata berbeza daripada keadaan semasa, keputusan Menteri Kewangan kini boleh dicabar dan dikaji semula melalui proses Panel Kajian Semula dan seterusnya Tribunal Rayuan Perolehan yang berkecuali.

“Tambahan pula, RUU itu turut memperkenalkan tindakan punitif atas sebarang pelanggaran dan Menteri Kewangan juga tidak terkecuali daripada akauntabiliti sekiranya gagal menzahirkan kepentingan atau campur tangan dalam proses perolehan,” katanya ketika menggulung RUU Perolehan Kerajaan 2025 di Dewan Negara hari ini.

Amir Hamzah berkata keberkesanan penguatkuasaan tindakan punitif itu juga diperkukuh melalui mekanisme pemantauan yang teliti serta kerjasama erat antara Kementerian Kewangan dengan agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Sementara itu, beliau berkata RUU itu tidak dibentangkan secara tergesa-gesa kerana usaha kerajaan untuk menggubalnya telah bermula sejak 2018 sebagai langkah reformasi institusi, namun tergendala seketika disebabkan pertukaran pentadbiran kerajaan pada 2020 sehingga November 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan