KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah memperkukuhkan peranan pentingnya dalam memacu usaha Malaysia untuk menjadi hab ASEAN bagi inovasi, kemampanan dan industri maju dengan menghubungkan perniagaan dan pelabur melalui "Investment Pitching Day" 2025.
Inisiatif ini telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 180 pelabur kanan dan pembuat keputusan, mewujudkan pameran dinamik yang menghubungkan modal dengan projek-projek yang bersedia untuk pelaburan.
Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid menekankan keperluan kritikal untuk kerjasama awam-swasta dalam mendorong Malaysia ke fasa pertumbuhan ekonomi seterusnya.
"Platform ini direka untuk menghubungkan syarikat dengan pelabur yang betul, memastikan bahawa projek-projek hebat ini mendapat sokongan penuh agar mampu dikembangkan.
"Rangka Kerja Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Industri Baharu 2030 adalah prinsip panduan kami dalam membina ekonomi yang inklusif, saksama serta kompetitif," katanya melalui satu kenyataan.
MIDA berkata Investment Pitching Day 2025, yang diadakan pada 2 Sept, yang menemukan pelabur institusi, syarikat pelaburan yang berkaitan dengan kerajaan, firma modal teroka, dana ekuiti swasta, institusi kewangan serta pemaju, menonjolkan peranan utama MIDA dalam membuka kunci pelaburan strategik, mengukuhkan ekosistem tempatan selain merapatkan kesalinghubungan serantau.
Sesi pagi memberi tumpuan kepada Projek Pemecut Ekonomi (EAP) di sepanjang koridor Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), dengan usaha teroka siap pelaburan dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.
Katanya, projek-projek ini bersedia untuk memangkinkan pembangunan serantau dan memberikan kesan jangka panjang kepada masyarakat setempat.
Pada sebelah tengah hari, sesi PrimePitch pula menampilkan lima syarikat yang membentangkan peluang bernilai tinggi dalam farmaseutikal serta peranti perubatan seperti Jardin Pharma, Biocon Biologics, Novugen Oncology, Longe Medikal dan Remedi Innovations.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial