AM

Belanjawan 2026: KPKT Kemuka 13 Inisiatif Utama Kepada MOF, Perkukuh Kesejahteraan Rakyat

04/09/2025 03:27 PM

PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini mengemukakan 13 cadangan inisiatif utama kepada Kementerian Kewangan sebagai persediaan Belanjawan 2026 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 10 Okt ini.

Antara inisiatif itu adalah di bawah Kesejahteraan MADANI iaitu permohonan peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi melaksanakan 10,000 projek kemudahan awam asas sepanjang 2026, termasuk Taman MADANI, pasar awam, dewan orang ramai, sistem perparitan di kawasan perumahan serta pemasangan lampu jalan solar.

Inisiatif lain ialah Rumah Kasih MADANI iaitu RM200 juta bagi membaik pulih dan membina semula 10,000 rumah usang untuk membantu keluarga miskin bandar agar hidup dalam suasana lebih selesa dan selamat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Belanjawan 2026 merupakan peluang penting bagi merancakkan agenda Malaysia MADANI melalui pelaksanaan inisiatif yang dikenal pasti supaya memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat di seluruh negara.

“Kita mahu Belanjawan 2026 menjadi people-centric atau berpaksikan rakyat dengan memperkukuh infrastuktur awam dan mengindahkan kawasan persekitaran, menyediakan ruang perniagaan yang kondusif bagi peniaga kecil serta membantu rakyat memiliki rumah pertama mereka dengan mudah pada kadar mampu milik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua inisiatif yang dikemukakan itu akan memanfaatkan jutaan rakyat dan ia akan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun hadapan dengan bagi memastikan keberhasilan yang jelas serta manfaat daripadanya dapat dirasai oleh rakyat secepat mungkin.

Hari ini, Nga bersama timbalannya Datuk Aiman Athirah Sabu mengadakan pertemuan bersama Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Kementerian Kewangan.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Nor Azman Taib dan Ketua Perbendaraan Negara Datuk Johan Merican dan Pengarah Belanjawan Negara Datuk Seri Ab Rahim Ab Rahman.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan