AM

Rakyat Malaysia Di Indonesia Perlu Elak Kunjungi Lokasi Demonstrasi, Rusuhan - Mohamad

04/09/2025 07:56 PM

REMBAU, 4 Sept (Bernama) -- Rakyat Malaysia di Indonesia diminta supaya tidak mengunjungi kawasan panas yang dikenal pasti menjadi lokasi demonstrasi susulan rusuhan di beberapa tempat di negara itu sejak 28 Ogos lepas.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tiada rakyat negara ini yang terlibat atau terjejas setakat ini dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta Konsulat Jeneral termasuk di Pekanbaru dan Medan sentiasa memantau rapi perkembangan semasa selain memastikan keselamatan mereka terjamin.

“Kita telah minta supaya jangan ke tempat yang panas atau hotspot ini supaya mereka tidak terjejas... kalau boleh, jika tidak ada keperluan keluar duduk di dalam rumah ataupun di asrama masing-masing.

“Kalau nak keluar pun, keluarlah ke lokasi yang bukan dikenal pasti sebagai tempat selalu berlaku demonstrasi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah Rembau kepada 101 penerima di sini hari ini.

Pada 29 Ogos lepas, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau rapi perkembangan terkini susulan demonstrasi yang bermula di kawasan Senayan, Jakarta Pusat.

Mohamad, yang juga Ahli Parlimen Rembau, turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak terikut-ikut atau terpengaruh dengan sebarang elemen yang boleh menggugat keamanan dan kestabilan negara.

“Apabila keamanan tergugat, pertumbuhan ekonomi juga akan terjejas... jika tidak stabil, pelabur asing tidak akan melabur manakala pelabur tempatan pula akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

"Keadaan ini tidak baik untuk negara,” katanya.

Beliau berkata orang ramai juga diminta supaya berwaspada terhadap penyebaran berita tidak benar yang boleh mengelirukan masyarakat dan melemahkan perpaduan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan