DUNIA

Singapura Komited Perdalam Integrasi ASEAN, Perkukuh Peranan Global

05/09/2025 11:30 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 5 Sept (Bernama) -- Singapura akan memacu integrasi ASEAN yang lebih mendalam sebagai sebahagian daripada ikrarnya untuk memainkan peranan konstruktif dalam membentuk orde global yang adil dan stabil, kata Presiden Tharman Shanmugaratnam pada majlis pembukaan Parlimen ke-15 republik itu pada Jumaat malam.

Beliau berkata Singapura juga akan menyokong pembaharuan untuk memastikan keberkesanan multilateralisme di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Perdagangan Dunia, serta memperdalam perkongsian dengan negara-negara sehaluan untuk mengekalkan dan memperluas aliran perdagangan dan pelaburan.

"Dengan berdiri bersama negara sahabat dan rakan kerjasama, kita memperkuat suara kolektif dan meningkatkan pengaruh kita," katanya dalam ucapan yang menggariskan agenda kerajaan untuk penggal baharu itu.

Tharman berkata adalah menjadi keutamaan Singapura untuk menjamin keselamatan negara dan mempertahankan kedudukan negara itu di peringkat antarabangsa.

"Kita tidak boleh sekali-kali memandang ringan soal keselamatan, terutamanya dalam era di mana ketegangan boleh tercetus secara tiba-tiba di rantau ini dan di peringkat global," katanya, sambil menambah bahawa Singapura akan terus memperkukuh keupayaan dan menangani ancaman baharu yang muncul.

Sementara itu, Tharman berkata Singapura akan melabur dalam teknologi baharu untuk penyahkarbonan dan perlindungan pesisir pantai, selain menyokong perusahaan yang membangunkan penyelesaian alam sekitar yang inovatif, sebagai sebahagian daripada usahanya untuk memperkukuh daya tahan negara sambil menyumbang kepada kemampanan serantau dan global.

Singapura juga akan meneruskan perkongsian untuk membangunkan pasaran kredit karbon yang kukuh dan menggerakkan pembiayaan untuk infrastruktur mampan di rantau ini, tambahnya.

Sidang pertama Parlimen ke-15 Singapura bermula pada Jumaat, selepas ia dibubarkan pada 15 April menjelang pilihan raya umum.

Sidang itu bermula sekitar 5 petang dengan pemilihan semula Seah Kian Peng sebagai Speaker Parlimen.

Selepas itu, Ahli Parlimen (AP) yang dipilih dan dua AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP) mengangkat sumpah.

CNA (Channel NewsAsia) melaporkan bahawa tiga AP tidak hadir pada majlis itu dan akan mengangkat sumpah pada tarikh lain.

Penggal baharu Parlimen kali ini menyaksikan jumlah AP paling ramai setakat ini iaitu seramai 99 orang serta rekod bilangan AP penggal pertama dan AP wanita.

Penggal ini juga hanya menyaksikan dua parti diwakili dalam Parlimen – parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan pembangkang, Parti Pekerja (WP) – berbanding tiga pada penggal sebelumnya.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah kekal sebagai Ketua Dewan, manakala setiausaha agung WP Pritam Singh meneruskan tugas sebagai Ketua Pembangkang.

Seah, dalam ucapannya, mengingatkan semua AP untuk meneliti dan mengkritik dasar dengan tegas.

Beliau juga mengingatkan AP untuk sentiasa menjaga ketertiban, saling menghormati dan tidak melupakan tugas utama mereka untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura dengan integriti dan keyakinan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan