AM

Kepelbagaian Adalah Kekuatan, Identiti Unik Malaysia 

04/09/2025 08:06 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Kepelbagaian budaya, bahasa dan tradisi rakyat Malaysia telah membentuk identiti yang unik sekali gus menjadi lambang dan kekuatan negara, kata Ahli Parlimen Bakri Tan Hong Ping.

Justeru, Tan berkata perbezaan dalam kepelbagaian itu tidak seharusnya diperbesarkan sebaliknya ia perlu dianggap sebagai keindahan yang perlu diraikan.

“Penyatuan pelbagai unsur budaya, bahasa dan muzik membentuk identiti Malaysia yang unik. Jadi, jangan kita hanya melihat kepada perbezaan yang akan memecah-belahkan sebaliknya kita berusaha mencari persamaan dengan menggabungkan kepelbagaian itu,” katanya ketika ditemu bual melalui program ‘Temu Bual Eksklusif’ terbitan Bernama Radio hari ini.

Beliau berkata Malaysia ibarat sebuah taman yang penuh dengan pelbagai jenis bunga yang mencerminkan keindahan sebenar negara ini dengan kepelbagaian latar belakang rakyatnya.

“Malaysia seperti taman yang apabila kita masuk ke dalamnya kita dapat melihat pelbagai jenis bunga yang beraneka warna dan bentuk.

“Sebagai contoh, kita dapat melihat semangat kekitaan antara masyarakat ketika kejayaan atlet negara dalam kejohanan badminton dunia baru-baru ini apabila seluruh rakyat Malaysia meraikan kemenangan tersebut tanpa mengira latar belakang mahupun fahaman politik,” katanya.

Dalam pada itu, Tan berkata kelima-lima prinsip Rukun Negara yang menjadi asas penting dalam membentuk sebuah masyarakat di negara ini perlu difahami selain sebagai falsafah kebangsaan yang perlu terus dipegang bersama.

“Lima prinsip Rukun Negara sentiasa dekat dengan kehidupan harian kita dan ia menjadi pedoman bersama, khususnya dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum. Kepelbagaian yang ada di Malaysia melahirkan masyarakat dinamik, membentuk identiti bangsa unik di persada antarabangsa.

“Gabungan (pelbagai kaum, budaya dan kepercayaan) itu membentuk jati diri Malaysia yang sukar dipisahkan kepada unsur tertentu kerana ia telah menyatu sebagai satu identiti kebangsaan,” tambahnya.

Mengenai semangat patriotisme sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Tan berkata semangat patriotik bukan hanya mengibarkan Jalur Gemilang semata-mata sebaliknya ia juga boleh diterjemahkan melalui sikap bertanggungjawab, amanah dan kesediaan untuk hidup harmoni dalam kepelbagaian.

 -- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan