KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Pindaan terhadap Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) dibuat supaya selari dengan inisiatif dan dasar kerajaan, terutama berkaitan pelaksanaan MyDigital ID, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Shamsul Anuar ketika membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini berkata pindaan akta itu juga bertujuan memperkukuh pengiktirafan statutori kepada MyDigital ID sebagai satu pengenalan yang sah.
"Dalam hubungan ini, terdapat keperluan penambahan pengambilan, perekodan dan penggunaan jenis data biometrik yang bersesuaian dengan tahap keselamatan dan kerahsiaan maklumat, terutama bagi pendaftaran rekod pengenalan diri rakyat Malaysia," katanya.
Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengadakan sesi libat urus bagi meminda akta itu antaranya bersama Jawatankuasa Pilihan Keselamatan dan Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi Parlimen, masing-masing pada 19 Mei dan 31 Julai lepas.
Menerusi sesi itu katanya, jawatankuasa berkenaan menyokong pindaan Akta 78 dan mengesyorkan supaya ciri-ciri keselamatan pada kad pengenalan hendaklah ditingkatkan supaya tidak disalahgunakan pihak tidak sepatutnya, selain opsyen fungsi kad pengenalan dalam transaksi digital.
RUU berkenaan antara lain juga bertujuan meminda Seksyen 2 Akta 78 untuk memasukkan takrif baharu data biometrik serta meminda subseksyen 6(2) akta sama bagi menambah baik kuasa menteri dalam membuat peraturan-peraturan.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial