AM

Rawatan Awal Boleh Elak Komplikasi Hernia - SMC

26/08/2025 09:49 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Hernia tidak akan sembuh dengan sendiri dan boleh mendatangkan komplikasi serius sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, kata Pakar Perunding Bedah Am dan Gastrousus Atas, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Soon Yuen.

Beliau berkata menangguhkan rawatan boleh membahayakan kerana kira-kira lima peratus pesakit mengalami hernia terperangkap iaitu keadaan apabila usus terperangkap dan tidak boleh diubah posisi.

“Ini boleh mengakibatkan komplikasi serius yang memerlukan intervensi pembedahan yang lebih kompleks. Jika tidak, benjolan mungkin bertambah besar, menjadikan pembedahan lebih mencabar. Rawatan awal boleh meningkatkan hasil pemulihan dan kualiti hidup,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lebih lanjut mengenai penyakit itu, Dr Soon berkata hernia terbentuk apabila tekanan dalaman melebihi kekuatan dinding abdomen lantas menjejaskan bahagian yang sememangnya lemah atau menjadi lemah akibat faktor tertentu.

Beliau berkata hernia boleh terjadi dalam pelbagai bentuk dan jenis hernia yang paling kerap didiagnosis berdasarkan pemerhatiannya ialah hernia inguinal dan umbilikal, manakala jenis yang kurang lazim ialah hernia Spigelian dan Lumbar.

 "Walaupun sesetengah hernia tidak bergejala, sesetengah yang lain mungkin menyebabkan kebengkakan, ketidakselesaan atau kesakitan yang ketara. Pesakit sering mengadu benjolan yang kelihatan atau kesakitan.

“Simptom utama termasuk benjolan terutamanya di pangkal paha atau abdomen. Ia juga boleh menyebabkan ketidakselesaan atau kesakitan yang bertambah buruk apabila melakukan aktiviti fizikal, batuk, atau mengangkat berat. Sakit yang serius, loya atau muntah juga kemungkinan hernia strangulasi,” katanya.

Masalah penyakit ini menurut SMC, kerap berlaku dalam masyarakat, namun sering dipandang ringan dan berdasarkan statistik, sebanyak 32.53 juta kes hernia inguinal, femoral, dan abdomen direkodkan di seluruh dunia dengan 13.02 juta kes baharu terutamanya dalam kalangan lelaki berusia antara 50 hingga 69 tahun.

“Kira-kira 25 peratus lelaki daripada kumpulan umur ini pernah mengalami hernia inguinal sepanjang hidup mereka,” menurut SMC dalam kenyataan.

Mengulas mengenai rawatan, Dr Soon berkata ia bergantung kepada tahap keseriusan pesakit dan antara pendekatan adalah dengan memantau tanpa risiko segera bagi hernia yang kecil dan tidak bergejala, namun, bagi kes yang semakin membesar atau bergejala ia perlu dirawat.

Kaedah pembedahan terbuka masih digunakan untuk membaiki hernia yang bersaiz besar atau rumit, melibatkan pemotongan yang lebih besar untuk membaiki hernia dengan jahitan atau jejaring (mesh) manakala pembedahan laparoskopi menggunakan pemotongan kecil, mengurangkan parut dan masa pemulihan dan ini termasuk pembedahan satu port.

“Teknik ini (pembedahan port tunggal) boleh mengurangkan keparutan, sakit selepas pembedahan, dan mengurangkan masa pemulihan berbanding pembedahan tradisional dan laparoskopi. 

“Kebanyakan pesakit boleh pulang pada hari yang sama, meneruskan aktiviti harian dalam tiga hingga tujuh hari, dan ramai tidak memerlukan ubat tahan sakit,” katanya.

Menurut SMC, pengurusan hernia yang berkesan bukan sahaja bergantung kepada pembedahan, malah memerlukan pengetahuan pesakit tentang penyakit itu serta kerjasama rapat antara pesakit dan penyedia penjagaan kesihatan.

Dr Soon turut menekankan pentingnya memperkasakan pesakit dengan pengetahuan yang mereka perlukan untuk membuat keputusan yang termaklum dan mengambil bahagian secara aktif sepanjang menjalani rawatan.

"Apabila pesakit memahami dan mengikuti pelan penjagaan mereka, ia akan meningkatkan hasil rawatan dan meminimumkan kadar untuk hernia berulang kembali," katanya.

-- BERNAMA

 

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel tersebut.

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan