AM

MRT Corp Edar 1,000 Jalur Gemilang Kepada Penumpang, Semarakkan Bulan Kebangsaan

26/08/2025 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Stesen-stesen Projek Transit Aliran Massa (MRT) sekitar ibu kota hari ini dimeriahkan dengan Program Kibar Jalur Gemilang melalui pengedaran 1,500 bendera kebangsaan dan nyanyian lagu patriotik bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) Datuk Mohd Zarif Hashim berkata program usahasama dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) itu bertujuan memupuk rasa syukur terhadap kemerdekaan negara serta menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

"Program itu lambang kesyukuran kita atas kemerdekaan negara sekali gus menjadi wadah untuk menyemai semangat perpaduan rakyat dalam membangunkan negara tercinta.

"Dalam acara ini, petugas MRT Corp beramah mesra dengan penumpang sambil mengedarkan lebih 1,000 Jalur Gemilang dan menyanyikan lagu-lagu patriotik bersama-sama, menjadikan suasana perjalanan waktu puncak sebagai sebuah perayaan komuniti yang unik," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Program berkenaan bermula dengan penyerahan simbolik Kit Jalur Gemilang oleh Timbalan Ketua Pengarah Kandungan Digital JAPEN Erwin Khairul Ahmad kepada pihak MRT Corp.

Acara itu disusuli dengan MRT Merdeka Train Ride yang disertai lebih 200 warga kerja MRT Corp menaiki tren khas ke destinasi terpilih termasuk Pasar Seni, Tun Razak Exchange (TRX) dan Ampang Park.

Program turut diserikan dengan Pameran #Bersama Malaysiaku hasil penajaan bersama MRT Corp, iaitu gerakan nasional di bawah Pejabat Perdana Menteri yang mempamerkan potret wajah-wajah rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang pada 22 dinding pada semua stesen MRT.

Sementara itu, Erwin Khairul dalam sidang media sama berkata JAPEN menyumbangkan lebih 200 Jalur Gemilang kepada MRT Corp selaras dengan pemilihan syarikat itu sebagai rakan pelaksana di bawah Kluster Industri bagi menjayakan inisiatif '1 Rumah 1 Jalur Gemilang'.

Beliau turut memuji inisiatif premis dan agensi yang membeli bendera tambahan menggunakan peruntukan sendiri, menunjukkan komitmen mendalam terhadap sambutan kemerdekaan.

Selain itu, beliau berkata sumbangan JAPEN lebih bersifat menyuntik semangat awal, manakala penghayatan sebenar terbukti apabila organisasi sendiri rela berbelanja demi menyemarakkan sambutan.

"Inisiatif mengibarkan bendera sepatutnya lahir daripada hati. Apabila agensi menggunakan dana sendiri untuk membeli lebih banyak Jalur Gemilang ia membuktikan kempen ini benar-benar berjaya dan dihayati," katanya.

Kemeriahan program itu turut dirasai oleh warga kerja MRT Corp yang terlibat, antaranya Nur Asiah Izaliza Zainullah, 35, yang meluahkan kegembiraan dapat menyertai program sedemikian buat kali pertama. 

"Saya berasal dari Sabah, peluang menyertai acara besar seperti ini jarang ada di sana. Jadi, apabila peluang ini datang, saya tidak teragak-agak untuk turut serta dan ini antara pengalaman paling seronok dan tidak boleh dilupakan.

"Kami melihat ada yang memakai pakaian tradisi kaum masing-masing, malah ada yang dengan bangga mengenakan pakaian kaum lain. Tidak kira apa pun pakaian kami, kami semua mengibarkan bendera yang satu, iaitu Jalur Gemilang dan bersama-sama menyanyikan lagu patriotik," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan