JENAYAH & MAHKAMAH

DASH Dibina Ikut Spesifikasi, PROLINTAS Tambah Langkah Keselamatan

25/08/2025 12:27 AM

KUALA LUMPUR, 24 Ogos (Bernama) -- Struktur Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), termasuk di bahagian selekoh bertingkat, dibina mengikut spesifikasi yang diluluskan pihak berkuasa dan disahkan oleh jurutera bertauliah.

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa reka bentuk lebuh raya itu telah memenuhi semua keperluan keselamatan yang ditetapkan.

"Walaupun reka bentuk lebuh raya ini telah memenuhi semua keperluan keselamatan, kami telah mengambil langkah proaktif seperti pemasangan papan tanda amaran tambahan di lokasi strategik, mempertingkat hebahan kesedaran awam serta merancang pemasangan pagar tambahan bagi meningkatkan lagi aspek keselamatan," menurut kenyataan itu.

Menurut PROLINTAS, pihaknya mengambil maklum dua insiden kemalangan motosikal yang berlaku baru-baru ini.

Syarikat itu turut menasihati pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi had laju ditetapkan dan memandu dengan berhemah terutama di bahagian lebuh raya yang bertingkat serta berselekoh.

“PROLINTAS juga telah menyerahkan semua bukti berkaitan termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan itu.

Semalam, seorang pelajar lelaki kolej swasta berusia 19 tahun maut selepas motosikal yang ditunggang terbabas sebelum terjatuh dari struktur bertingkat DASH pada ketinggian 21 meter di susur 1/B 0.5 pada kira-kira 10.40 pagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan