AM

Dua Beradik Terlibat Kemalangan Di Sungai Bakap Terima Rumah MutiaraKu

24/08/2025 08:34 PM

NIBONG TEBAL, 24 Ogos (Bernama) -- Dua beradik yang terlibat dalam kemalangan ngeri bersama neneknya di Sungai Bakap di sini pada 18 Feb lepas, hari ini menerima sebuah unit Rumah MutiaraKu Jenis A bernilai RM42,000 di Bandar Tasek Mutiara dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S Sundarajoo berkata rumah itu didaftarkan atas nama neneknya, M Amartham sebagai pemegang amanah sebelum dipindahkan sepenuhnya kepada M Darshan, 7, dan M Kavarjitha, 5, apabila mereka mencecah umur 18 tahun.

Beliau berkata rumah kos rendah berkenaan ditawarkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Prestasi dan Pencapaian Perumahan pada 25 Julai lepas, dan ia mengambil kira syarat-syarat permohonan ditetapkan kerajaan negeri.

“Unit ini direka mesra OKU, terletak di tingkat pertama serta dilengkapi dengan lif dan laluan khas kerusi roda untuk memudahkan pergerakan,” katanya dalam kenyataan selepas menyerahkan surat tawaran rumah kepada sekeluarga itu.

Pada 18 Feb lepas, dua beradik yang dalam perjalanan ke sekolah bersama nenek mereka cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di susur masuk ke Jalan Besar Sungai Bakap-Jalan Pengkalan.

Dalam kemalangan itu, Darshan mengalami kecederaan serius pada tangan kiri yang kini tidak dapat digunakan manakala adiknya Kavarjitha kehilangan kaki kanan akibat digilis lori berkenaan dan neneknya turut cedera di bahagian kepala.

Sundarajoo berkata sebuah tabung khas telah diwujudkan di bawah kawal selia Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Bakap bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela selepas lawatan bersama pimpinan Jabatan Pendidikan Negeri, guru besar dan pengerusi lembaga pengelola sekolah pada 22 Feb.

Beliau berkata hasil sokongan masyarakat dan kempen kutipan dana tersebut melalui media sosial telah berjaya mengumpulkan RM222,024, setakat 19 Ogos.

“Saya telah mencadangkan agar RM42,500 daripada kutipan digunakan untuk membeli sebuah unit Rumah MutiaraKu Jenis A di Projek Rumah Pangsa Mutiara Indah, Fasa 4 (Blok D), Bandar Tasek Mutiara, Seberang Perai Selatan.

“Baki kutipan dana pula diletakkan di bawah kawalan sebuah ‘Trustee’ dengan sejumlah RM1,500 sebulan disalurkan kepada nenek mereka untuk menjaga kebajikan dua beradik hingga mereka berumur 18 tahun,” katanya.

Beliau berkata bantuan kewangan bulanan serta peruntukan rumah mampu milik itu merupakan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan tiada rakyat terpinggir, khususnya golongan rentan dan berharap ia memberi sinar baharu kepada mereka untuk membesar dalam suasana lebih selesa dan selamat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan