From Farah Najihah Zuraimi
JAKARTA, 23 Ogos (Bernama) -- Kontinjen Malaysia terus menampilkan prestasi cemerlang pada Sukan SEA Pekak 2025 yang memasuki hari kedua dengan meraih sembilan pingat emas sekali gus melonjakkan pungutan emas negara kepada 15 yang menyamai kutipan keseluruhan pada temasya 2022 di Kuala Lumpur.
Dengan beberapa acara masih berlangsung, pasukan negara kini bakal memecahkan rekod kutipan emas terdahulu bagi mencipta penanda aras baharu.
Skuad olahraga menyempurnakan kempen bersejarah itu dengan menyapu bersih kesemua 10 pingat emas yang dipertandingkan, mengatasi sasaran awal enam emas skuad berkenaan.
Azlan Kuste, yang baharu sahaja mengungguli acara 800 meter (m), mempamerkan kekuatan luar biasa untuk merangkul dua emas dengan mendominasi 1,500m lelaki dengan catatan masa 4 minit 27.03 saat (4:27.03s).
Selepas menjuarai 400m, Muhammad Shahrul Azmer Azman menambah koleksi emas menerusi acara 200m dengan rekod 22.63s manakala menerusi kategori wanita, Nur Andrina Zainuddin, meskipun berdepan kontroversi 'false start', membuktikan penguasaannya dalam acara itu dengan catatan 27.63s bagi membawa pulang emas keduanya.
Kuartet lelaki negara turut mencipta kejayaan dalam acara 4x400m dengan catatan masa 3:34.16s.
Menambah kegemilangan hari kedua ini ialah pembawa bendera Malaysia, Zaiman Megat Abu, yang melakukan lompatan 6.82 meter dalam lompat jauh bagi merangkul emas manakala seorang lagi atlet negara Hazrul Shah Hamri memperoleh perak dengan lompatan 6.58m.
Malaysia turut membutirkan emas dalam boling tenpin di Pusat Boling Jaya Ancol menerusi pasangan Ho Choon Seng-Mohammad Firdaus bagi acara doubles lelaki dan Siong Mui Hong-Siw Sing He bagi doubles wanita.
Ia juga merupakan hari bersejarah buat skuad catur yang meraih emas menerusi Loo Pin Xie dalam kategori standard lelaki dan Ainur Ashikin Jupineh muncul juara bagi standard wanita.
Berbaki acara futsal, ping pong dan badminton yang masih berjalan, kontinjen negara dilihat mampu melepasi sasaran 16 pingat emas dan mencipta sejarah baharu bagi sukan pekak Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial