AM

Demonstrasi Maritim Malaysia Tarikan Utama Sua Mesra KDN Di Bandar Baharu

21/08/2025 06:13 PM

ALOR SETAR, 21 Ogos (Bernama) -- Aksi berani anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dijangka menjadi tarikan utama Program Sua Mesra Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang akan berlangsung di Dataran Bandar Baharu, Sabtu ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat Maritim Malaysia, orang ramai berpeluang menyaksikan demonstrasi kecekapan STAR Team melakukan terjunan dari helikopter AS365N3 Dauphin milik agensi itu ke sungai Bandar Baharu, sebelum menaiki jet ski yang sedia menanti di permukaan air.

“Turut dipertontonkan ialah aksi dramatik pasukan perenang penyelamat yang melaksanakan misi menyelamat mangsa di air menggunakan pesawat yang sama.

“Selain pertunjukan daripada Maritim Malaysia, pengunjung juga bakal menikmati pelbagai perkhidmatan mesra rakyat yang dibawakan oleh agensi di bawah KDN,” menurut kenyataan itu.

Antara yang menjadi tumpuan ialah tawaran pengurangan kadar kompaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), perkhidmatan kaunter Jabatan Imigresen Malaysia, kemudahan bas MEKAR Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta khidmat nasihat berkaitan Scam Alert, PDRM.

Masyarakat tempatan turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang dekat dengan kehidupan harian seperti Jom Exchange Al-Quran, jualan produk Jabatan Penjara Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan, khidmat gunting rambut percuma oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), selain persembahan meriah pancaragam Maritim Malaysia.

“Penganjuran program Sua Mesra KDN bukan sahaja menjadi jambatan mempererat hubungan antara rakyat dengan agensi keselamatan negara, malah membuktikan usaha berterusan kerajaan dalam menyantuni masyarakat melalui penglibatan langsung di lapangan,” menurut kenyataan itu.

Majlis Sua Mesra KDN di Bandar Baharu dijadual dirasmikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan dihadiri Ketua Setiausaha KDN Datuk Awang Alik Jeman.

Program yang akan berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang itu terbuka kepada semua dan masuk adalah percuma.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan