KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Sabah FC masih tercari-cari kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini selepas terikat tanpa jaringan dengan Kelantan The Real Warriors (TRW) FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Skuad Sang Badak bagaimanapun hanya mampu menyalahkan diri sendiri apabila gagal memanfaatkan beberapa peluang, termasuk percubaan penyerang Darren Lok pada minit ke-15 yang diselamatkan benteng pertahanan lawan.
Bersambung babak kedua, usaha anak buah Jean-Paul de Marigny terus menemui jalan buntu apabila tandukan pertahanan import Gabriel Peres pada minit ke-54 sekadar tersasar di sebelah kanan pintu gol Kelantan TRW.
Lima minit sebelum perlawanan berakhir, penyokong tuan rumah hampir bersorak kegembiraan selepas jaringan pemain gantian Azhad Harraz Arman berjaya menembusi gawang lawan, namun semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati beliau berada dalam kedudukan ofsaid.
Kelantan TRW yang dipimpin E. Elavarasan turut berpeluang mencuri kemenangan pada masa kecederaan, tetapi tandukan pertahanan kanan Filipina, Simon Lyngbo berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Sabah, Damien Lim.
Keputusan seri kedua berturut-turut itu menyaksikan Sabah kini menghuni tangga kelapan dengan dua mata, manakala Kelantan TRW di kedudukan kesembilan turut mengutip jumlah mata yang sama.
Sementara itu, PDRM FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar seri 0-0 menentang Melaka FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Selepas tiga perlawanan, PDRM yang masih mencari kemenangan sulung berada di tangga kelima dengan tiga mata, manakala Melaka menghuni tempat ketujuh dengan dua mata.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial