AM

Cadangan Tubuh Kementerian Undang-Undang Asas Kemajuan Negara - Azalina

21/08/2025 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Cadangan penubuhan Kementerian Undang-Undang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini selaras dengan agenda Malaysia MADANI yang mengangkat integriti, ketelusan dan kedaulatan undang-undang sebagai asas kemajuan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pengumuman Perdana Menteri itu menunjukkan pentingnya kementerian itu bagi memperkukuh ekosistem perundangan negara, meningkatkan keberkesanan reformasi institusi serta memperluas akses rakyat kepada keadilan.

“Insya-Allah, kita akan terus melakar kejayaan agenda reformasi undang-undang yang bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, tetapi juga mengangkat ASEAN sebagai rantau yang adil, berdaya tahan dan makmur,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, Anwar ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Undang-Undang ASEAN 2025 berkata kerajaan sedang menimbang untuk menubuhkan sebuah Kementerian Undang-Undang khusus bagi memastikan ekosistem perundangan negara lebih tersusun dan bersepadu.

Beliau berkata langkah itu juga akan membolehkan Malaysia berinteraksi dengan lebih bermakna bersama rakan serantau dalam usaha memajukan kedaulatan undang-undang, khususnya dengan negara anggota ASEAN.

Sementara itu, Azalina turut menzahirkan penghargaan kepada Anwar yang hadir bagi menyampaikan ucaptama serta menyaksikan penerimaan Kenyataan Bersama dalam forum yang julung kali diadakan itu.

Beliau berkata ia mencerminkan komitmen kepimpinan negara dalam usaha memperkukuh kerjasama perundangan serantau demi keadilan yang lebih inklusif.

“Juga ucapan terima kasih atas kehadiran rakan-rakan Menteri dan Timbalan Menteri Undang-Undang negara anggota ASEAN, Timor-Leste dan Jepun serta Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan