KUANTAN, 21 Ogos (Bernama) -- Bunyi letupan kuat seperti peluru berpandu jelas kedengaran dari sekitar kawasan Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan), kata seorang daripada saksi insiden kemalangan pesawat tempur F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), malam tadi.
Mazlan Abdullah, 61, yang ketika itu berada di kedai makan berhadapan Pangkalan Udara itu berkata dia mendengar letupan sebanyak dua kali dan turut melihat cahaya api dari kawasan berkenaan.
“Selepas bunyi letupan, saya dapat melihat api dalam kawasan lapangan terbang dan asap berkepul-kepul. Orang ramai yang berada di kawasan berdekatan juga cuba pergi melihat apa yang berlaku.
“Ketika saya melihat ke lapangan terbang, ada api sedang marak, tetapi selepas letupan kedua, api lebih marak dan ada juga bau hangit,” kata pekerja kontrak berkenaan kepada pemberita di sini malam ini.
Jurutera elektrikal Khairul Azli Syahmie Abdul Aziz, 26, pula berkata dia turut mendengar bunyi letupan dari rumahnya yang terletak kira-kira 500 meter hingga satu kilometer dari tempat kejadian, namun tidak mengendahkannya kerana menyangkakan pasukan TUDM sedang menjalani latihan.
“Bila saya tengok dalam media sosial ada jet pejuang jatuh, tetapi saya tak pergi tengok (di luar) sebab saya dan isteri ingat itu adalah latihan tentera. Kadang-kadang askar ada buat latihan dekat sini sebab itu kami dah biasa dengar,” katanya.
Selain itu, Khairul Azli Syahmie berkata jiran-jiran di kawasan kediamannya di Pandan Perdana turut keluar dari rumah sejurus bunyi letupan berkenaan untuk melihat apa yang berlaku.
Terdahulu, sebuah pesawat tempur F/A-18D Hornet milik TUDM terlibat dalam satu insiden kemalangan di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan) pada 9.05 malam tadi.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman yang mengesahkan insiden berkenaan berkata seorang juruterbang dan pembantu juruterbang TUDM dilaporkan selamat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial