AM

Sambutan Hari Kebangsaan: Elemen Koir Dalam Persembahan Grafik Manusia Bakal Curi Perhatian Penonton

21/08/2025 08:42 PM

SHAH ALAM, 21 Ogos (Bernama) -- Persembahan grafik manusia yang digabungkan dengan elemen koir dijangka menjadi antara tarikan dan mencuri perhatian penonton, pada sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya, 31 Ogos ini.

Persembahan membabitkan sebanyak 12 lagu berunsurkan perpaduan dan keharmonian itu, akan dijayakan 2,000 pelajar tingkatan satu hingga empat dari 50 buah sekolah menengah seluruh Selangor.

Konduktor koir Ong Zen Kai berkata elemen baharu itu tidak bersandar kepada hiburan semata-mata, tetapi mempunyai mesej yang boleh dikaitkan dengan perpaduan dan keharmonian dalam konteks negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Beliau berkata gabungan empat suara atau vokal secara serentak yang menjadi asas nyanyian koir, sebagai tunjang dalam persembahan itu kelak menjadi gambaran kepada kesepaduan yang boleh diterapkan dalam jiwa setiap mereka yang menonton persembahan grafik manusia tersebut.

“Setiap suara diibaratkan satu bangsa, dan negara kita akan makmur sekiranya kita bersatu dan berpadu, yang hasilnya akan dapat dinikmati bersama-sama seluruh rakyat.

“Peserta terpilih ini telah berlatih sejak Julai dan pembabitan mereka secara tidak langsung menonjolkan rasa sayang serta patriotik pada negara,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan pusat di Hotel KSL Esplanade dekat sini, baru-baru ini.

Ong yang juga guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Serdang Baru 1 berkata bagi menghasilkan kesan dan persembahan lebih memukau, beliau telah meneliti dan membahagikan kedudukan peserta kepada empat kumpulan berdasarkan kekuatan vokal masing-masing.

Walaupun pada awalnya tidak begitu yakin untuk memimpin nyanyian melibatkan 2,000 pelajar serentak, Ong berkata keyakinan tersebut mula bertambah, setelah melihat kesungguhan pelajar memberikan yang  terbaik melalui beberapa sesi latihan bersama yang diadakan.

"Biasanya di sekolah saya hanya mengendalikan antara 30 hingga 40 murid, namun atas semangat demi Malaysia, saya dapat lihat setiap peserta telah memberikan yang terbaik dan membuktikan mereka boleh bersatu menghasilkan nyanyian yang penuh bermakna,” katanya.

Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Putra Nik Alesya Dania Zaidi, 15, berkata penyertaannya dalam pasukan itu membuatkan dirinya teruja apabila dapat bekerjasama menjayakan persembahan yang amat dinantikannya ketika sambutan Hari Kebangsaan dengan peserta lain dari seluruh Selangor.

Katanya beliau bertuah terpilih sebagai peserta selepas melepasi temuduga dan saringan yang dibuat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, sekali gus tidak lagi hanya menonton persembahan di televisyen seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Jujurnya, berada di dalam kelompok 2,000 peserta benar-benar menaikkan semangat saya untuk menzahirkan semangat cintakan negara dan menghargai kemerdekaan menerusi persembahan dan nyanyian bersama-sama pelajar lain,” katanya.

Muhammad Arif Naqib Khairul Kamal, 15, daripada SMK Pandan Jaya pula berkata lagu-lagu yang dipersembahkan pasukan grafik manusia itu telah menjentik hatinya untuk lebih menghayati erti kemerdekaan, apatah lagi peserta dilatih memahami dan menghayati setiap bait lirik lagu yang dinyanyikan.

“Sebelum ini saya pernah nyanyikan lagu-lagu ini tetapi kali ini agak berbeza perasaannya. Bayangkan suara 2,000 pelajar bergabung, sudah tentu menaikkan bulu roma kami para peserta, dan pastinya juga kepada penonton.

“Saya berpendapat perasaan ini timbul apabila kami menghafal setiap baris lirik dan memahami setiap mesej yang mahu disampaikan termasuk gerakan dan prop yang digunakan antaranya kipas, bendera dan payung,” katanya.

Pasukan grafik manusia di bawah kendalian Ketua Jurulatih Ahmad Hafiz Awaludin itu berlatih selama lapan jam sehari mulai Isnin hingga Khamis selama dua bulan dan bakal menampilkan pelbagai jenis gerakan menerusi 12 buah lagu termasuk medley Wau Bulan, Bapak Mek Datang, Dia Datang dan Sayang Kinabalu serta mengiringi Datuk Seri Siti Nurhaliza dengan lagu tema sambutan.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, sambutan Hari Kebangsaan tahun ini berlangsung di Dataran Putrajaya, manakala Hari Malaysia di Pulau Pinang pada 16 Sept.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan