AM

Jiwa@Komuniti MADANI Tumpat Himpun Komuniti Semarakkan Merdeka

21/08/2025 06:19 PM

TUMPAT, 21 Ogos (Bernama) -- Program Jiwa@Komuniti MADANI Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 peringkat daerah Tumpat berjaya menghimpunkan pelbagai komuniti setempat, dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme, termasuk penyertaan 20 ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Komuniti MADANI Daerah Tumpat Ahmad Shafik Ab Rahman berkata program itu merupakan kesinambungan daripada pelancaran Bulan Kebangsaan peringkat kebangsaan dan negeri, dengan Tumpat menjadi antara daerah terawal menggerakkan inisiatif tersebut.

“Selepas pelancaran pada peringkat daerah hari ini, sebanyak 12 komuniti di bawah Komuniti MADANI akan menganjurkan pelbagai program bertemakan kemerdekaan seperti kibar Jalur Gemilang, sukan rakyat dan sambutan ambang Merdeka,” katanya kepada Bernama selepas majlis itu, di sini hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Kelantan Hasim Mohamed berkata kempen Kibar Jalur Gemilang di Tumpat seiring dengan program kebangsaan, termasuk Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang sedang berlangsung di seluruh negara.

“Kembara Merdeka melibatkan konvoi agensi kerajaan dan kelab permotoran yang melalui negeri Kelantan pada 9 hingga 11 Ogos sebelum diteruskan ke Terengganu. Kita juga membawa kempen Satu Rumah Satu Jalur Gemilang bagi memastikan setiap rumah mengibarkan bendera sepanjang bulan kebangsaan.

“Sepanjang pelaksanaan Bulan Kebangsaan bermula 27 Julai hingga 16 September ini, sebanyak 135 kawasan Komuniti MADANI di Kelantan akan menganjurkan program kemerdekaan mengikut pendekatan masing-masing,” katanya.

Hasim berkata pelbagai acara lain turut dilaksanakan seperti penyerahan Jalur Gemilang, pertandingan rumah berhias serta program bersama veteran, sebagai tanda penghargaan kepada jasa pejuang terdahulu di samping menyemarakkan penghayatan kemerdekaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan