AM

KMJG 2025 Sarawak Fasa ii Tamat, Konvoi Kembali Ke Kuching

20/08/2025 04:39 PM

SIBU, 20 Ogos (Bernama) -- Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2025 Sarawak Fasa II yang memasuki hari ke-11 hari ini melabuhkan tirainya dengan peserta konvoi kembali ke Kuching selepas melakukan persinggahan ke-27 di SJK(C) Thai Kwang Sibu di Jalan Hulu Lanang.

Konvoi yang menyemarakkan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia itu dilepaskan oleh Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah SJKC Thai Kwang Datuk Tiong Thai King.

KMJG akan bersambung dengan fasa ketiga pada 25 Ogos ini.

Dalam ucapannya semasa persinggahan itu, Ketua Konvoi KMJG 2025 Denver Bantok berkata program berkenaan sebagai platform mengeratkan perpaduan, menyemai kecintaan terhadap Jalur Gemilang serta memupuk nilai patriotisme dalam kalangan rakyat pelbagai lapisan masyarakat.

“Malaysia MADANI menzahirkan erti kebebasan rakyat daripada sebarang elemen negatif dengan semangat patriotik melalui integrasi sosial dan ekonomi yang progresif. Rakyat disantuni pula melambangkan komitmen kerajaan membina negara yang sejahtera, adil dan makmur,” kata beliau.

KMJG 2025 melibatkan 22 hentian di seluruh Sarawak bermula di Lundu pada 2 Ogos lepas dan akan berakhir di Lawas pada 16 Sept sempena sambutan Hari Malaysia.

Konvoi KMJG singgah di SMK Selirik, Kapit pada Isnin lepas sebelum ke SMK Julau semalam bagi hentian kesembilan dan ke-10.

Denver berkata setiap hentian konvoi diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti pentas hiburan, ceramah, pameran serta program kemasyarakatan berkonsepkan patriotisme dan cinta negara.

“Program kita hari ini sungguh bersejarah kerana ia menandakan permulaan sebuah kembara patriotik istimewa yang akan menyemarakkan semangat kemerdekaan di seluruh negeri,” tambah beliau.

Beliau turut mengajak masyarakat menyahut kempen “Satu Rumah Satu Jalur Gemilang (1R1JG)” dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, sekolah, premis perniagaan dan kenderaan masing-masing sebagai tanda cinta serta kebanggaan terhadap Malaysia.

Sementara itu, Tiong berkata tema sambutan tahun ini “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” amat signifikan kerana mencerminkan komitmen bersama kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak dalam membina masyarakat penyayang dan inklusif.

Beliau berkata konsep MADANI itu selaras dengan aspirasi Sarawak Maju Makmur 2030.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan