KUANTAN, 7 Okt (Bernama) -- Seorang pesara lelaki berusia 71 tahun kerugian lebih RM140,000 selepas diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon atau ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai penguat kuasa dari agensi kerajaan, Ogos lepas.
Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abdul Rahman berkata mangsa menerima panggilan telefon pada 15 Ogos daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Putrajaya, selain mendakwa akaun bank milik mangsa terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram.
“Panggilan tersebut kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis dan mengesahkan tuduhan itu sebelum meminta mangsa menyerahkan gambar depan dan belakang kad ATM miliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM109,950 ke dalam akaun tidak dikenali pada 25 Ogos, sebelum sekali lagi membuat pindahan sebanyak RM30,650 pada 12 Sept atas arahan suspek.
“Mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas panggilannya kepada suspek tidak lagi dijawab apabila cuba mendapatkan semula wangnya. Mangsa menggunakan wang simpanan peribadi serta hasil jualan saham pelaburannya bagi membuat pembayaran tersebut,” katanya serta menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Mohd Shahril turut menasihatkan orang ramai agar tidak mendedahkan maklumat perbankan kepada individu tidak dikenali dan membuat semakan di laman sesawang www.semakmule.rmp.gov.my atau menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NFCC) di talian 997 bagi sebarang transaksi mencurigakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial